NEXUS KEILMUAN PACU PEMBANGUNAN UNIVERSITI – NC
PULAU PINANG, 14 Jan 2016 – Nexus Keilmuan Universiti (UkBN) diharap dapat menjadi asas bagi Universiti Sains Malaysia (USM) mencetuskan impak yang signifikan terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara dan dunia melalui pelbagai aktiviti berteraskan ilmu pengetahuan.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, perkataan Nexus yang berasal dari Latin circa 1655 bermaksud binding, joining,fastening dan dalam konteks USM, ia boleh dilihat sebagai penyatuan pelbagai disiplin, individu, aktiviti dan sebagainya yang membawa makna kepada tujuan menyeluruh.
Katanya, UkBN adalah inisiatif pengurusan tertinggi universiti untuk memajukan agenda pembangunannya terutamanya melalui inisiatif yang diperkenalkan untuk menstrukturkan usaha menggunakan disiplin rentas bidang yang sememangnya menjadi kekuatan USM.
“UkBN mengkelompokkan individu (akademik, kumpulan sokongan dan pelajar) dari pelbagai disiplin melaksanakan aktiviti keilmuan termasuk dalam hal–hal penyelidikan, latihan, pembangunan kapasiti, program outreach dan sebagainya untuk menyelesaikan isu semasa mahupun masa hadapan yang dihadapi masyarakat.
“Kelompok ini nanti diharap dapat mencapai matlamat untuk menjadi penyumbang yang signifikan dan mampu memberi impak kepada pelbagai kumpulan pemegang taruh seperti komuniti akademik, kerajaan, masyarakat dan juga industri,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Tahunan Naib Canselor 2016 yang bertemakan ‘APEX 2020; Merealisasikan Universiti Global’ di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Lembaga Gabenor, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai-pegawai utama Universiti dan sebagainya.
Mengulas mengenai potensi nexus, Omar berkata, fokus utama UkBN adalah melihat kepada keperluan masyarakat dan ia berkait dengan isu-isu yang relevan dan memerlukan penyelesaian masa hadapan sebagai permulaan membentuk nexus.
“Contohnya, isu yang berkait dengan keselamatan air, kelestarian alam sekitar, penuaan populasi, populasi urban, penjagaan kesihatan dan kesejahteraan yang boleh membawa perubahan dan memberi kesan kepada masyarakat,’’ katanya.
Beliau juga turut melihat potensi penjanaan kewangan melalui penubuhan Pusat Media USM yang menempatkan pelbagai kepakaran di bawah satu kelompok.
Kepakaran yang ada pada beberapa pusat tanggungjawab misalnya Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC), Pusat Seni Reka Kreatif (CDH), Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) dan Pusat Pengajian Komunikasi perlu digembleng menjadi satu nic yang mampu menjana pulangan ekonomi kepada universiti. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 997