KEJAYAAN CEMERLANG USM SEDIA ASAS KUKUHKAN UNIVERSITI GLOBAL
PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Kejayaan cemerlang Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2015 dalam pelbagai bidang termasuk Governan, Pengurusan dan Jangkauan Masa Hadapan, Kelestarian, Pembangunan Bakat Staf dan Pelajar serta Inovasi dan Globalisasi telah menyediakan asas yang kukuh untuk USM sebagai universiti yang memacu kecemerlangan (APEX) mencapai tahap Universiti Global (UG).
“Sehingga kini beberapa asas penarafan kuantitatif berasaskan ranking digunakan sebagai pengukur bidang-bidang keberhasilan utama seperti dalam penerbitan, pelajar, majikan, nisbah-nisbah input dan juga penarafan peers,” kata Naib Canselor USM , Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika menyampaikan Perutusan Tahunannya kepada warga kampus induk hari ini yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global.
Menurut Naib Canselor, tahun 2015 USM telah melakar pelbagai kejayaan termasuk pemantapan tadbir urus seperti Perlembagaan khas untuk memperjelaskan dan menegaskan tentang autonomi dan juga penghakupayaan pelajar yang mana mereka diberi peluang yang luas untuk mendapat ilmu pengetahuan dan amalan-amalan baik dengan menerajui projek dan aktiviti yang dilakasanakan.
“Tahun 2015 juga menampakkan ramai pensyarah USM yang mengukir pelbagai kejayaan dalam penyelidikan dan inovasi, menempa nama yang tersohor dalam kekuatan masing-masing, menjadi bintang di persada dunia akademik atas pelbagai pentas pengiktirafan, penerbitan yang diiktiraf antara yang paling banyak dirujuk, jurnal dan penulisan yang disegani, penemuan-penemuan baharu dalam pelbagai bidang, penandatanganan persefahaman untuk pelbagai tujuan di dalam dan di luar negara termasuk untuk tujuan pengkomersilan produk bernilai jutaan ringgit, penandatanganan kontrak penyelidikan dengan pelbagai agensi dengan nilai ilmu dan dana yang besar serta pelbagai lagi,” tambah Omar.
“USM mengambil pelbagai inisiatif baharu dalam tahun 2015 termasuk Sustainability Road Map – yang mana hala tuju lima tahun dalam Kelestarian USM (2015-2020) dibangunkan, pembangunan staf melalui MyTalent, Asian Local Knowledge Network (ALKN), pelaksanaan inisiatif endowmen termasuk penubuhan Yayasan USM untuk mengukuhkan usaha penjanaan dana USM,” ujar Omar mengimbas kembali kejayaan 2015.
“USM terus menempa nama di persada dunia dengan penerokaan e-book, penawaran program pesisir di dalam dan luar negara, kejayaan dan penghasilan graduan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak di luar negara bagi ijazah pertama seperti Sains Perubatan, mahu pun penawaran ijazah tinggi, kerjasama untuk penyelidikan sains penuaan dan pengukuhan kerjasama dengan institusi dan pelbagai pihak di Jepun.
“Program pemerkasaan usaha pemindahan ilmu dapat dilihat apabila diberi kepercayaan sehingga terbinanya bangunan khas dari dana luar, pembinaan pusat dan arena sukan untuk pengkomersilan perkhidmatan sukan dan rekreasi malah juga pembangunan sukan air di luar negeri Pulau Pinang,” kata Omar di hadapan lebih 1000 orang staf dan pelajar USM di sini.
“Berdasarkan kejayaan-kejayaan tersebut dan kerjasama semua staf dan pelajar dalam pelbagai peringkat saya percaya UG dapat direalisasikan,” ujar Naib Canselor .
Perutusan Tahunan Naib Canselor ini telah dihadiri oleh ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Datuk Dr Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor, pegawai-pegawai utama universiti, staf dan juga pelajar USM.
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1400