NAIB CANSELOR LANCAR BUKU APEX 2020 DAN BATU UBAN SEJARAH AWAL PULAU PINANG
PULAU PINANG, 14 Januari 2016 – Pelancaran buku APEX 2020 dan buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman sempena Perutusan Naib Canselor 2016 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang hari ini.
Buku APEX 2020 merangkumi bagaimana USM merealisasikan universiti global (UG) yang menekankan pelan strategik lima tahun yang menfokus kepada bakat, akademik, penyelidikan dan pembangunan institusi kepada fokus utama iaitu pelajar, staf, penyelidikan global, pembangunan kebangsaan, nilai, kewangan, kelestarian dan juga governan berdasarkan tujuh pillar utama APEX fasa 2.
Selain itu, buku ini juga menerangkan 35 matlamat strategik dan 281 inisiatif yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran USM menjelang tahun 2020.
Sementara itu, buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang yang dilancarkan juga adalah buku hasil dari penulisan seorang pensyarah dari Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CENPRIS) USM yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican yang menceritakan Batu Uban sebagai pancaran sejarah awal Pulau Pinang dan merupakan penempatan terawal, malah Batu Uban merupakan pekan dan pelabuhan di Pulau Pinang sebelum kedatangan Inggeris.
Buku ini juga bertujuan meluruskan sejarah, dan dengan harapan Batu Uban dapat dipuliharakan dan diwartakan sebagai kampung tradisional dan tanda kewujudan sejarah awal Pulau Pinang.
Turut dilancarkan selain dari buku-buku ini adalah Massive Open Online Course (MOOC) iaitu platform yang menawarkan kursus-kursus tertentu di atas talian secara percuma, tanpa had bilangan pelajar dan akses terbuka untuk semua.
Langkah ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran berkaitan kursus subjek tertentu dari institusi pengajian tinggi tempatan, secara tidak langsung, penawaran kursus melalui MOOC ini juga memberi ruang untuk berkongsi kemahiran dan ilmu pengetahuan tertentu dari Malaysia dan USM, di samping mempelbagaikan kaedah dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam usaha untuk menggalakkan amalan pembelajaran sepanjang hayat.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1558