2016: USM PERKUKUHKAN KEDUDUKAN SEBAGAI UNIVERSITI GLOBAL
PULAU PINANG, 14 Januari 2016 - Dengan pelbagai kejayaan yang ditempa selama ini, Universiti Sains Malaysia (USM) kini memfokuskan usahanya menjadi sebuah Universiti Global (UG).
Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam Perutusan Tahunannya kepada warga kampus hari ini yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global menegaskan, berdasarkan pencapaian lapan ciri utama sesebuah universiti global, USM yakin mampu merealisasikan usaha ini serta menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi.
Lapan ciri tersebut ialah mempunyai misi global, pengeluaran/penghasilan ilmu (knowledge), fungsi baharu ahli fakulti, pembiayaan pelbagai, perhubungan pelbagai sektoral, pengambilan worldwide, organisasi universiti yang kompleks dan kolaborasi global.
“Tahun 2015 menutup tirainya dengan pelbagai kejayaan yang telah dicapai melalui komitmen dan usaha bersungguh-sungguh semua pihak di universiti serta kita telah melaluinya dengan penuh keyakinan dengan meletakkan asas yang kukuh untuk meneruskan citra kejayaan yang ada dalam melakukan transformasi untuk masa hadapan,” kata Omar.
Jelasnya, walaupun berhadapan dengan banyak cabaran pada tahun 2016 iaitu antaranya dalam usaha mengupayakan dan membangunkan nexus keilmuan, meningkatkan keupayaan warganya supaya multitasking, mendorong warganya menghayati Rukun USM, ledakan dinamik teknologi maklumat dan teknologi termaju, tanggungjawab dalam memajukan pembelajaran sepanjang hayat dan timbulnya kepentingan dalam memahami ekonomi yang berasaskan kebijaksanaan atau wisdom economik dalam sumber manusia, USM yakin usaha ini akan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya dalam masa terdekat.
“USM misalnya akan menumpukan fokusnya kepada menjayakan UG misalnya melihat kepada WEHAB+4 (W-Water, E-Energy, H-Health, A-Agricultural, B-Biodiversity) + (Climate Change/Disaster Management; Population Well Being/Poverty; Production/Consumption; Waste management) yang selari dengan hasrat Sustainable Development Goals (SDGs) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menunjukkan juga bahawa misi USM adalah seiring dengan misi PBB,” jelas Omar.
Tegasnya lagi, USM juga akan berusaha meningkatkan kedudukannya dalam ranking dunia dalam pelbagai bidang dengan melihat kepada pencapaian sedia ada dengan ahli-ahli akademik yang telah berupaya berada pada kedudukan tertinggi dalam penyelidikan, kolaborasi mahu pun penerbitan bertaraf dunia.
“Begitu juga dengan penglibatan ahli-ahli akademik dan pentadbiran USM yang kini berada dalam banyak jaringan yang melibatkan pelbagai bidang termasuk libat sama industri dan komuniti di seluruh dunia, malah misalnya membantu pelbagai pihak di Nepal dan Filipina yang dilanda bencana melalui jaringan-jaringan ini,” kata Omar.
Jelasnya, tambah meyakinkan ialah apabila USM turut terlibat dalam penawaran program akademik dan penyelidikan termasuk dengan industri di seluruh dunia seperti universiti terkemuka di United Kingdom, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Jepun termasuk untuk penawaran program berkembar pada peringkat ijazah tinggi yang memberi pengalaman kepada pelajar melakukan libatsama di dalam industri.
Antara bidang-bidang fokus pada peringkat antarabangsa termasuklah Pengurusan Bencana, Sains Warisan, Arkeologi, Pengurusan Pembangunan Islam, Kognitif Neurosains, Psikologi dan Pembangunan Lestari bersama-sama universiti-universiti ternama di luar negara seperti di Amerika Syarikat, Kanada, Brunei, Indonesia dan beberapa buah negara lain.
Omar turut memaklumkan yang USM akan membangunkan nexus-nexus atau bidang-bidang kekuatan ilmu yang dapat dihubungkan dengan pelbagai masalah semasa negara untuk berkongsi kepakaran dan berkolaborasi dalam pelbagai bidang kepakaran.
“USM akan memberikan fokus semula kepada aktiviti penyelidikan yang berasaskan tema-tema tertentu yang berkait rapat dengan isu semasa dalam menghadapi cabaran pembangunan sosio ekonomi dengan mewujudkan nexus-nexus misalnya dalam bidang urbanisasi dan kemiskinan bandar, kesejahteraan masyarakat dan penuaan (warga emas), kelestarian alam sekitar, pengurusan bencana dan meningkatkan kecekapan dalam proses penyampaian sektor awam,” kata Omar.
Perutusan yang dihadiri oleh 1,000 orang warga USM itu turut menumpukan kepada pencapaian 20 Program Utama APEX dan Quick Wins dalam pencapaian APEX 2020 melalui fokus kepada pelaksanaan, pemantauan dan libatsama, bidang fungsi jabatan atau pusat pengajian dan pusat penyelidikan, Output dan outcome, nilai baik dalam pelaksanaan dan persediaan untuk mengoptimumkan sumber dan peningkatan produktiviti serta keberkesanan kos untuk kelestarian kewangan.
Pada majlis yang sama, Omar melancarkan Pelan Pembangunan APEX 2020 dan buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang yang ditulis oleh ahli akademik Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican.
Yang hadir sama dalam majlis tersebut ahli Lembaga Gabenor Universiti (LGU) Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pendaftar, Bendahari serta beberapa kenamaan luar.
Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1459