USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TIDAK ADA KES KEBULURAN DI UNIVERSITI AWAM

 DSC4969

PULAU  PINANG, 11 Januari 2015 - Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni - HEPA) Universiti Awam menafikan adanya kes pelajar universiti yang tidak cukup makan atau kebuluran di kampus malah sebagai pihak  yang bertanggungjawab ke atas isu kebajikan pelajar universiti, melahirkan rasa terkejut terhadap laporan-laporan tersebut dan cara bagaimana kes-kes tersebut dilaporkan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Pengerusinya, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata, pihaknya menegaskan  yang  Sekretariat Timbalan-timbalan Naib Canselor (HEPA) sentiasa cakna (prihatin)  dan mengambil berat mengenai kebajikan pelajar, apatah lagi sekiranya ada yang kelaparan, kebuluran mahu pun yang tidak cukup makan malah sehingga hari ini, semua universiti awam memaklumkan tiada kes pelajar kebuluran seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

“Laporan media tersebut jelas berasaskan kepada hasil kajian yang dijalankan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang disebarkan melalui media sosial dan boleh dipersoalkan dari segi kebolehpercayaan dan kesahihan penemuannya serta kami ingin mempertikaikan tujuan laporan tersebut dibuat malah yang lebih mencurigakan apakah sebenarnya motif di sebalik kajian yang dijalankan dengan membawa media mengenengahkan beberapa kes pelajar yang dikatakan mempunyai masalah kebuluran, kelaparan atau kekurangan makanan di kampus universiti awam,” kata Adnan yang juga Timbalan Naib Canselor (HEPA) Universiti Sains Malaysia (USM).

Pihaknya juga melahirkan perasaan amat kesal kerana pihak media memilih untuk mensensasikan isu pelajar kelaparan, kebuluran atau tidak cukup makan tanpa mendapat gambaran sebenar serta khuatir ada pihak yang sengaja ingin memperbesar-besarkan isu tersebut untuk tujuan-tujuan lain. 

“Laporan-laporan tersebut  telah menimbulkan pelbagai pandangan negatif bukan sahaja kepada pihak pengurusan universiti yang dilihat seolah-olah tidak dapat menangani isu kebajikan pelajar, malahan laporan tersebut menjejaskan maruah golongan pelajar sendiri malah kini kita dapat lihat orang awam mula melahirkan rasa kesal kepada pelajar-pelajar yang dikatakan mengada-ada cerita, tidak mahu berusaha atau terlalu dimanjakan,” tegas Adnan.

Tambahnya lagi, pihak media tidak pernah menghubungi Timbalan Naib Canselor (HEPA)  mahu pun mana-mana pegawai universiti untuk mengesahkan kes-kes tersebut dan melaporkan tanpa verifikasi oleh pihak berwajib universiti untuk  mendapat gambaran kes kebuluran daripada pihak universiti terlibat.

“Kes-kes pelajar memberi bantuan makanan kepada pelajar lain sebenarnya adalah untuk membantu tatkala berhadapan dengan peperiksaan atau menjadi sebahagian daripada projek untuk menunjukkan keprihatinan tanpa melihat kepada kemiskinan, kebuluran dan tidak cukup makan sebagai asas utama,” kata Adnan.

Namun begitu, pihaknya mengakui bahawa ini tidak bermakna kemungkinan ada pelajar yang mempunyai masalah kewangan yang menyebabkan mereka kurang atau tidak dapat makan dengan sempurna dan mereka seharusnya tampil melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab di universiti masing-masing.

“Sekretariat TTNC ingin memaklumkan bahawa semua universiti awam mempunyai mekanisme untuk menangani masalah kewangan dan membantu pelajar dalam kesusahan seperti bantuan zakat, tabung kebajikan, program-program amal dan program makanan percuma yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar, desasiswa atau kolej kediaman, persatuan-persatuan pelajar, Pusat Islam dan masjid di universiti awam dan derma kebajikan oleh staf universiti sama ada melalui pertubuhan amal dan kebajikan di peringkat universiti yang  telah sedia ada di setiap universiti awam,” jelas Adnan.

Beliau meminta dan menyeru mana-mana pelajar yang mengalami masalah kewangan untuk menghubungi pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di universiti masing-masing untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Teks: Mohamad bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1421

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024