USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPW LENGKAPKAN EKOSISTEM MIKROELEKTRONIK UNIVERSITI, TINGKAT KUALITI PENYELIDIKAN

IMG 0135z

PULAU PINANG, 11 Jan. 2016 – Akses kepada Multi Project Wafer (MPW) hasil kolaborasi kukuh Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Silterra Malaysia Sdn. Bhd. disifatkan melengkapi ekosistem mikroelektronik di universiti iaitu dari rekabentuk, pengesahan, fabrikasi, ujian dan pengukuran serta mempakej.

MPW turut membolehkan penyelidik dan pelajar khususnya di peringkat ijazah lanjutan menjalankan fabrikasi rekabentuk elektronik bersepadu dengan kos yang lebih murah, selain berpeluang membuka syarikat ‘startup’ dengan menghasilkan produk elektronik yang dapat menyumbang kepada ekonomi negara.

MPW adalah perkhidmatan yang membolehkan pelbagai rekaan litar bersepadu difabrikasi secara berkumpulan. Sekiranya satu rekabentuk difabrikasi secara berasingan, kos yang akan ditanggung adalah terlalu tinggi. 

Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, sebelum kolaborasi bersama Silterra, aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkaitan mikroelektronik di Universiti banyak tertumpu kepada perisian komputer semata-mata.

IMG 0140v

“Namun dengan bantuan Silterra dari aspek pembuatan MPW, aktiviti ini telah berkembang sehingga dapat menghasilkan prototaip dan seterusnya ke arah produk komersial, selain membolehkan negara melahirkan bakat-bakat tempatan yang menjadi asas kepada penghasilan peranti elektronik pada masa kini.

“USM misalnya, Pusat Usahasama Kecemerlangan RekabentukMikroelektronik (CEDEC) telah dipertanggungjawabkan untuk mengatur dan menggalakkan aktiviti rekabentuk mikroelektronik dan ia diyakini dapat mengukuhkan lagi kecemerlangan penyelidikan dalam bidang ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penandatanganan Perjanjian Kerjasama (CA) di antara USM dengan Silterra di sini hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif Silterra Malaysia Sdn. Bhd, Firdaus Abdullah hadir menandatangan dokumen berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Pengarah Kanan Pembangunan Korporat Silterra, Tahiruddin Hamdan serta pegawai-pegawai utama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), USM Silterra dan sebagainya.

Tambah beliau, kerjasama USM bersama Silterra telah bermula sejak dari tahun 2006 dan pelbagai aktiviti telah dibuat yang hasilnya sangat memberangsangkan, antaranya membenarkan komuniti rekabentuk Very-large-scale-integartion (VLSI) tempatan negara mempunyai capaian kepada proses teknologi semasa diwujudkan untuk pembuatan prototaip pada harga murah.

IMG 0149b

“Pencapaian USM untuk mikroelektronik juga telah menyebabkan USM diiktiraf sebagai ‘hub of VLSI design house in Malaysia’.

“Ini terbukti melalui geran sebanyak RM6.5 juta yang telah berjaya diperoleh oleh CEDEC dari Talentcorp dan beberapa industri bagi menjayakan projek 3D (Demand, Development and Driven) selama 2 tahun dan bermula dari Jan 2016,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Firdaus pula berkata, akses kemudahan fabrikasi yang diberikan kepada golongan pelajar universiti membolehkan mereka mengoptimumkan fokus kepada kerja-kerja penyelidikan yang dipacu oleh pasaran.

“Kolaborasi seumpama ini dapat merancakkan industri merekabentuk litar elektronik. Jika dahulu Universiti terpaksa membelanjakan peruntukan yang besar sehingga mencecah USD10 ribu untuk satu proses fabrikasi.

“Namun Silterra memainkan peranan menyumbang untuk kemajuan bidang elektrik dan elektronik negara dan menyerap kos tertentu bagi membolehkan ekosistem mikroelektronik di universiti dan negara ini khususnya mencapai tahap yang membanggakan dan dijadikan rujukan serantau,’’ katanya.

 

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1084

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024