USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR KONVENSYEN RANGKAIAN KEUSAHAWANAN PERINGKAT ASEAN

PULAU PINANG, 6 Januari 2015- Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Majlis Pewakilan Pelajar USM (MPP USM) akan menganjurkan Konvensyen Rangkaian Keusahawanan Pelajar ASEAN atau ASEAN Student Entrepreneurship Network (ASENet) 2016 yang bertujuan untuk memperkenalkan dan mengukuhkan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti ASEAN.

Menurut Ketua Jabatan Publisiti ASENet 2016, Malathi Sivagami program ini juga adalah untuk memupuk minat keusahawanan dalam kalangan pelajar tempatan dan luar negara terutamanya negara ASEAN serta mendedahkan cabaran bidang keusahawanan beserta panduan untuk menjalankan projek keusahawanan secara individu.

“ASENet juga adalah satu platform rangkaian keusahawanan yang melibatkan pelajar daripada universiti ASEAN dalam berkongsi program keusahawanan dan melalui aktiviti ini juga diharapkan ikatan mesra antara pelajar tempatan dan luar Negara akan dapat dibentuk melalui keusahawanan,” kata Malathi.

“Pelajar atau para peserta akan dapat melengkapkan diri dengan ilmu keusahawanan yang terkini serta merangka satu projek untuk mengukur tahap pemahaman mereka dalam pelbagai slot keusahawanan yang dirancang,” tambah Malathi lagi.

ASENet 2016 adalah salah satu platform untuk memupuk peserta berfikir secara lebih kritis dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran pada masa hadapan melalui pengalaman yang diterima daripada program ini.

ASENet 2016 ini akan berlangsung pada 20-23 Januari 2016 di Dewan Utama Pelajar, Kampus Induk USM dan akan disertai oleh lebih 200 orang pelajar dari universiti di Malaysia, Singapura, Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Filipina.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

 

  • Created on .
  • Hits: 821

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024