USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

YAYASAN USM JAGA KEBAJIKAN MAHASISWA KURANG BERKEMAMPUAN - KAMPRI

1452133420594
PULAU PINANG, 7 Januari 2016 - Program Bantuan Kami Prihatin (KAMPRI) diteruskan lagi dengan pemberian bantuan makanan percuma kepada para mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang kurang berkemampuan pada musim peperiksaan semester kali ini. 
 
Pengarah Projek KAMPRI, Wang Wee Foong, 23 berkata, inisiatif pemberian makanan percuma ini dijalankan selama 10 hari bermula pada 6 hingga 15 Januari 2016 di Desasiswa-Desasiswa Kampus Induk USM dengan sasaran kepada seramai 100 orang mahasiswa dari keluarga berpendapatan rendah. 
 
"Bungkusan makanan berupa nasi dan pelbagai menu lain lagi serta air minuman diberikan kepada setiap mahasiswa yang layak menerima bantuan ini dan dana untuk membeli makanan dan minuman semuanya datang dari dana Yayasan USM," katanya.
 
Menurut Wang, pelajar yang layak menerima bantuan dikenalpasti melalui usaha penggerak dari bantuan Majlis Penghuni Desasiswa-Desasiswa dan juga melalui permohonan para pelajar ini sendiri.
1452133420280 
 
"Program ini akan diteruskan lagi pada semester dua kelak serta pelaksanaan dan perancangannya akan dikaji semula dengan rapi berdasarkan hasil post mortem fasa pertama ini agar penambahbaikan dapat dilakukan untuk lebih memberi manfaat pada penerima," jelas pelajar PP Ilmu Pendidikan ini lagi.
 
Mengulas lanjut, berdasarkan perancangan, program ini juga akan dilaksanakan di kampus kejuruteraan dan kesihatan melalui kerjasama antara BHEPA dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
 
"Bantuan lain selain pemberian makanan juga akan dilaksanakan dari segi pemberian insentif kepada pelajar kurang berkemampuan USM ini dari segi pemberian cermin mata," tambahnya.
 
Akhir kata Wang, beliau berharap agar program ini dapat diteruskan lagi pada sidang akan datang kerana pihak universiti sudah makin peka dengan kebajikan pelajar terutama pelajar yang mempunyai masalah kewangan dan beliau berhasrat agar program ini dapat dilibatsamakan bersama dengan komuniti dari luar USM dari aspek pemberi dana untuk projek berimpak sebegini.
1452133420959
 
Sementara itu, Penerima bantuan yang merupakan pelajar dari PP Ilmu Kemanusiaan, Mohd Safariddin Yahiya, 21 berkata, pemberian makanan percuma ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebannya dalam menguruskan kewangan harian.
 
Beliau yang datang dari keluarga berpendapatan rendah juga menzahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga dengan bantuan ini dan berharap ianya dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.
 
Bagi Nurul Diana Abdullah Sani, 24 pula, ucapan terima kasih buat USM khususnya Yayasan USM, BHEPA, MPP dan MPD dalam menjaga kebajikan para mahasiswa patut dijadikan contoh dan ikutan supaya golongan mahasiswa seperti ini tidak tersisih dan dilupakan dengan nasib yang dialami.
1452133420794
 
"Saya berharap, para mahasiswa yang kurang bernasib baik seperti kami, pemberian sebegini sedikit sebanyak dapat memberi kami semangat dan galakkan untuk terus berusaha keras dalam pelajaran dan juga untuk menaikkan nama USM lagi," kata pelajar PP Ilmu Pendidikan ini.
 
Penggerak utama program ini adalah pihak Yayasan USM dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar USM dan Majlis Penghuni Desasiswa-Desasiswa USM dengan libatsama Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni dan Pusat Islam USM.
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa
  • Created on .
  • Hits: 1637

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024