PROJEK SEBARKAN KASIH SAYANG KUMPUL DANA UNTUK BADAN KEBAJIKAN
PULAU PINANG, 6 Januari 2016 – Projek Sebarkan Kasih Sayang Minggu St. John akan mengadakan aktiviti kutipan barangan terpakai dari Pusat-Pusat Pengajian dan Desasiswa-Desasiswa di Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) bermula dari 4 hingga 13 Januari 2016,
Menurut Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Wang Wee Foong, objektif projek ini adalah untuk menyemai semangat kesukarelawanan mahasiswa melalui penglibatan diri dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan untuk projek yang berimpak sebegini.
“Selain itu, ia juga mendidik mahasiswa dan masyarakat supaya menghargai alam sekitar dengan mengitar semula barangan yang terpakai dan masih boleh digunakan,” katanya.
Tambahnya lagi, aktiviti ini dijalankan dalam tempoh ini kerana warga USM khususnya pelajar akan mengemaskan bilik mereka selepas peperiksaan dan pastinya mereka mempunyai barangan terpakai yang mereka ingin kitar semula, jadi disini para ahli St.John akan memungut barangan ini.
“Ahli-ahli St.John yang bertanggungjawab akan mengutip barangan terpakai dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Pusat Pengajian Komunikasi, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Pusat Pengajian Pengurusan, Pusat Pengajian Sains Matematik, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Pusat Pengajian Sains Kimia, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Pusat Pengajian Teknologi Industri, Desasiswa Fajar Harapan, Desasiswa Aman Damai, Desasiswa Restu, Desasiswa Saujana dan Desasiswa Cahaya Gemilang,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ahli-ahli St. John akan mengumpulkan semua barangan yang dikutip seterusnya ia akan dibawa ke bilik gerakan St. John di Pusat Rancangan Kokurikulum USM dan setelah tamat tempoh kutipan, barangan ini akan dijual di pusat kitar semula yang berhampiran dan hasil daripada kutipan ini akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang tertentu.
Projek ini akan diteruskan lagi pada akhir Februari 2016 nanti.
- Created on .
- Hits: 1218