USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROFESOR DR. ABD AZIZ TAJUDDIN DILANTIK PENDAFTAR USM

101

PULAU PINANG, 4 Januari 2016 - Profesor dalam bidang Fizik Sinaran dan Fizik Perubatan di Pusat Pengajian Sains Fizik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Abd. Aziz bin Tajuddin, 60, dilantik sebagai Pendaftar USM selama dua tahun mulai 1 Januari 2016. Sebelum ini beliau adalah Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM di Kampus Bertam Kepala Batas bermula pada 1 Oktober 2012.

Beliau menggantikan Siti Zubaidah A. Hamid yang bersara wajib pada 31 Disember 2015 setelah berkhidmat sebagai Pendaftar selama 3 tahun dan bertugas dalam pentadbiran USM selama 36 tahun.

Abd. Aziz dilahirkan di Sungei Kechil, Nibong Tebal, Seberang Perai pada 20 Januari 1956. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungei Kechil (Darjah 1 sehingga 6), Nibong Tebal Secondary School (sehingga Tingkatan Tiga: LCE), Maktab Tentera DiRaja (sehingga Tingkatan Lima: MCE), Aston College, Wrexham, Wales (‘A’ level) seterusnya melanjutkan pengajian di University of Salford, Manchester dan memperolehi B.Sc (Hons) (1980) di dalam bidang Fizik Kesihatan dan Fizik Persekitaran. Ekoran daripada keputusan yang cemerlang beliau terus ditawarkan pengajian PhD (tanpa menjalani pengajian M.Sc) di University of Surrey, England serta dianugerahi Committee of Vice-Chancellors and Principals of the Universities of the United Kingdom Overseas Research Students - Fees Support Scheme Award (1980 - 1983) untuk melaksanakan penyelidikan beliau dan akhirnya berjaya mendapat PhD pada tahun 1986 dengan tajuk tesisnya “Error reduction in quantitative single photon emission tomography’.

Abd. Aziz mula bertugas di Pusat Pengajian Sains Fizik USM sejak Julai 1986 mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai jawatankuasa termasuk pembangunan bakat, sebelum ini adalah Pengarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) sejak 1 Oktober 2012.

“Saya menyambut amanah dan tanggungjawab ini dalam membantu universiti melakukan proses transformasi yang sedang berjalan dan menerimanya dengan hati terbuka,” kata Abd. Aziz.Tambahnya, adalah penting semua pegawai bekerja bersama-sama dalam satu pasukan dan membangunkan pelan penggantian dan pembangunan bakat dengan sebaik mungkin untuk USM.

“Saya juga berharap agar semua pegawai pentadbiran universiti akan mengoptimumkan bakat dan kemampuan yang ada termasuk dalam kemahiran berkomunikasi untuk memastikan proses pengurusan bakat dapat dilakukan sebaik yang mungkin,” kata Abd. Aziz.

Sumbangan beliau kepada dunia akademia adalah menyeluruh. Sejak mula bertugas lagi beliau telah terlibat di dalam pentadbiran dan peningkatannya bermula sebagai Ketua Kumpulan Biofizik (1987-1989), Pemangku Timbalan Dekan (Disember 1989 sehingga Ogos 1990 dan Julai sehingga Disember 1991), Timbalan Dekan (November 1993 sehingga April 1995) dan Dekan selama 8 tahun (Mei 1995 sehingga Mac 2003).

Kemudian beliau dilantik pengasas kepada Pelantar Penyelidikan sebagai Pemangku Dekan Penyelidikan, Pelantar Sains Fundamental (Jun 2003 – April 2005) dan sebagai Dekan Penyelidikan bermula Februari 2006 sehingga 30 April 2010. Bermula 1 Mei 2010 sehingga 31 Disember 2012 beliau diamanahkan dan diberi tanggungjawab sebagai Pengarah, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia.

Abd. Aziz banyak membantu di dalam urusan kenaikan pangkat staf akademik dan juga bukan akademik USM. Kriteria kenaikan pangkat serta profiling staf akademik dan bukan akademik berjaya dibangunkan dan telah menjadi rujukan agensi luar dan sumbangan beliau di dalam profiling laluan berbeza kenaikan pangkat akademik (1. penyelidikan dan penerbitan, 2. pengajaran dan penyeliaan, 3. penglibatan korperat dan sosial serta peminjaman) juga menjadi rujukan IPTA/IPTS dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau juga terlibat di dalam penghasilan tidak kurang daripada 20 penerbitan berbentuk buku/prosiding, 60 penerbitan antarabangsa, 35 penerbitan tempatan, 40 pembentangan antarabangsa (termasuk ceramah jemputan di Calcutta, India – sebanyak dua kali; Coimbatore, India; Sopron, Hungary; Bangkok, Thailand dan Bali, Indonesia), dan lebih 200 pembentangan di dalam negara termasuk sebagai penceramah jemputan. Kertas kerja penyelidikan kumpulan beliau dirujuk oleh saintis lain di dalam jurnal berwasit.

Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 3030

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024