IPS USM RAI KEJAYAAN PELAJAR SISWAZAH
PULAU PINANG, 31 Disember 2015 – Institut Pengajian Siswazah (IPS) Universiti Sains Malaysia (USM) meraikan kejayaan pelajar pasca siswazah yang cemerlang dalam pelbagai bidang di Majlis Persada Kencana (MPK) 2015 di sini, hari ini.
Pemangku Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata, MPK 2015 merupakan acara tahunan bagi memberi penghormatan dan ganjaran kepada pelajar siswazah USM yang telah mencapai prestasi yang cemerlang dalam pelbagai bidang penyelidikan dan kajian.
Tambahnya lagi, pendidikan di peringkat sarjana adalah satu pelaburan penting kepada negara khususnya dari aspek pembangunan modal insan.
“Saya percaya bakat yang ada pada pelajar pasca siswazah adalah berharga khususnya bakat penyelidikan dalam memainkan peranan ke arah pembentukan budaya penyelidikan yang mempunyai nilai di USM,” kata Adnan yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM.
Jelas Adnan lagi, perubahan teknologi yang semakin canggih selain ketidaktentuan ekonomi dan persaingan global dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi pada masa kini merupakan satu cabaran yang harus dihadapi oleh pelajar pasca siswazah.
“Di USM, pelajar haruslah menerima fleksibiliti dan inovasi terutamanya dalam penawaran kursus di samping mengekalkan komitmen mereka terhadap kualiti yang dihasilkan dalam penyelidikan,” katanya ketika berucap dalam ucapan perasmian.
Yang hadir sama dalam majlis ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan serta pegawai-pegawai utama universiti.
Sementara itu, Dekan IPS USM, Profesor Dr. Othman Sulaiman berkata, MPK 2015 akan memberi motivasi dan galakan kepada lebih 20,000 pelajar lepasan ijazah dari 30 buah negara untuk menjadi lebih rajin dalam pelajaran dan bidang-bidang lain.
“Bersesuaian dengan tema MPK 2015 iaitu ‘Beautiful Minds Inspire Others’, IPS USM berharap pelajar siswazah yang kini sedang melanjutkan pelajaran di USM mampu memberi impak kepada USM khususnya dalam bidang penyelidikan yang dijalankan selain mampu memberi inspirasi kepada pelajar lain,” tambah Othman.
MPK 2015 memberi pengiktirafan kepada tujuh kategori antaranya Penyelidik Terbaik dan Tesis Terbaik, Anugerah Terbaik Penyelidikan, Anugerah Sanggar Sanjung (Jurnal Penerbitan & Paten) dan Pelajar Terbaik (Kerja Kursus dan Mod Campuran).
Penerima Anugerah Penyelidik Terbaik, Siti Khairani Abdul Jalil, 26, ketika ditemui berkata, anugerah yang diterimanya itu merupakan hasil kesungguhannya untuk maju dalam hidupnya terutama mencapai kedudukan terbaik dalam akademik dan penyelidikan.
''Dengan anugerah yang diterima ini saya berjanji akan melakukan kerja bersungguh-sungguh untuk mencapai keputusan cemerlang dalam bidang penyelidikan Arkeologi yang sedang saya jalankan dalam tempoh tiga tahun ini," katanya.
Menurut Siti Khairani, penyelidikannya bertajuk 'Classification and Technologies of Flake Tools From Bukit Bunuh Impact Rocks and Their Function Through Usewear Experiment' itu bertujuan untuk mencari fungsi 308 jenis batuan hasil daripada impak meteorit yang berusia 1.8 juta tahun dahulu di Bukit Bunuh.
“Penerbitan hasil kajian saintifik perlu dihasilkan dalam bahasa yang lebih mudah agar dapat difahami oleh umum sekaligus dikongsi pengetahuannya,” jelas anak kelahiran Jeli, Kelantan ini lagi.
Teks: Syuhada bt Abd Aziz
- Created on .
- Hits: 1708