JANGAN MENGALAH, BERANIKAN DIRI TERIMA TUGAS MENCABAR – SITI ZUBAIDAH
PULAU PINANG, 31 Disember 2015 – Kakitangan Universiti Sains Malaysia (USM) khususnya yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan dinasihatkan untuk sentiasa mencabar diri dalam menjalankan tugas, selalu bersedia menerima tanggungjawab berat dan terus mencuba.
Pendaftar USM ke-7 yang menamatkan perkhidmatan dengan USM pada 31 Disember 2015, Puan Siti Zubaidah A. Hamid berkata, tiada yang mustahil untuk dilakukan asalkan disertai dengan semangat dan keinginan untuk menjayakan tugas yang diamanahkan.
“Kita jangan sesekali berkata tidak jika diberi peluang menggalas satu-satu tugasan yang berat dan sukar, sebaliknya jawab dengan positif bahawa kita terima dan akan mencuba sebaik mungkin.
“Tidak salah mencuba dan keluar dari zon selesa. Orang yang pantas menjawab tidak ini bagi saya tidak berani mencuba dan takut untuk berdepan dengan cabaran,’’ katanya.
Wanita kecil molek yang berasal dari Alor Setar ini mempunyai kredibiliti yang cukup tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya menjaga hal ehwal warga kampus, dari pelajar sehinggalah ke kakitangan pentadbiran serta akademik.
Ditanya rahsia bertahan sehingga ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran itu, beliau dengan ringkas menegaskan, disiplin dan bijak dalam mengurus masa adalah kunci utama untuk berjaya.
Katanya, beliau berpegang kepada prinsip bekerja dengan penuh kejujuran dan berintegriti serta tidak menjadikan habuan atau ganjaran sebagai matlamat dalam mengejar sesuatu.
“Bukan sekadar itu, saya tidak akan sama sekali mencampur-adukkan hal peribadi dengan urusan kerja. Apa yang berlaku di rumah tidak dibawa ke pejabat dan begitu juga hal pejabat.
“Hal ini amat penting kerana kegagalan untuk menentukan kedua-dua perkara ini akan menyebabkan kita menghadapi lebih banyak masalah khususnya dalam hubungan kekeluargaan, rakan sekerja, stress dan sebagainya,’’ ujarnya.
Pengalamannya bukan sedikit, Siti Zubaidah yang mempunyai kelulusan dalam bidang Sarjana Kaunseling Pendidikan (M.S.Ed) di University of Southern California, Los Angeles, CA, Amerika Syarikat ini pernah jua merantau dalam menimba pengalaman di negara orang.
Sepanjang berkhidmat di USM, beliau ditempatkan di Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar sebagai Timbalan Pendaftar Kanan (1979-2006) sebelum dilantik sebagai Pengarah Malaysian Student Department (MSD) di Washington D.C., USA selama tiga tahun pada Disember 2006 hingga Disember 2009.
“Saya ke Washington DC bagi menimba lebih pengalaman. Terbukti, banyak yang saya pelajari sewaktu bertugas di luar negara. Tugas saya lebih mencabar kerana di sana saya perkenalkan program outreach iaitu keluar berjumpa para pelajar di pelbagai universiti untuk mengetahui keadaan mereka.
“Pelajar kita di sana nyata gembira dengan perubahan tersebut kerana mereka merasakan ada yang sudi mendengar permasalahan mereka serta dapat mengeratkan silaturrahim dalam kalangan warga Malaysia di perantauan,’’ ujarnya.
Tambah beliau, keupayaannya mengadaptasi pelbagai perkara khususnya dalam memajukan kariernya banyak bergantung kepada latar belakang pendidikannya yang menjurus kepada kaunseling.
“Latar belakang kaunseling banyak membantu saya. Untuk berdepan dengan pelajar ada caranya, begitu juga dengan staf pentadbiran dan akademik. Adakalanya keputusan yang kita ambil jika tidak betul akan memberi kesan dan implikasi yang cukup besar buat mereka.
“Berbekalkan dengan ilmu yang saya peroleh, ia nyata membantu saya dalam banyak hal khususnya untuk berdepan keadaan di mana perlu membuat sesuatu keputusan yang cukup penting,’’ katanya.
Sekembalinya ke USM selepas berkhidmat di USA, beliau ditempatkan di Bahagian Penyelidikan dan Inovasi. Pada tahun 2012, Siti Zubaidah dipindahkan ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar dan dilantik sebagai Pendaftar pada 1 Januari 2013 sehingga 31 Disember 2015.
Memulakan karier sebagai Penasihat Pelajar di Unit kaunseling HEP pada 1 Ogos 1979 dan setelah memberikan khidmat dan kepimpinan yang cemerlang dalam perkhidmatan selama 36 tahun, Siti Zubaidah bersara wajib pada 31 Disember 2015 pada usia 60 tahun.
Anak jati Kedah yang dilahirkan pada tanggal 7 Oktober 1955 ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St. Nicholas Convent (1962-1967) seterusnya Sekolah Menengah St. Nicholas Convent (1968-1972) dan Tingkatan 6 di Sultan Abdul Hamid College (1973-1974). Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (1975-1979) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian).
Beliau yang mempunyai hobi membaca dan mempunyai kebolehan bermain piano ini telah mendirikan rumahtangga bersama Abdul Rahim Bin Ismail dan mempunyai seorang cahaya mata Zuliahani Hamid.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1692