USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IPPT TAWAR KHIDMAT NASIHAT PROJEK SAINTIS PELAJAR SEKOLAH

IMG 9297

BESERI, 14 November 2015 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Kluster Perubatan Integratif menawarkan khidmat penasihatan kepada sekolah di Wilayah Koridor Utara dalam apa jua projek penyelidikan yang dilaksanakan terutama sekolah yang ingin menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut Pensyarah IPPT, Dr. Hasni Arsad, sebelum ini telah ada beberapa sekolah yang telah menerima tawaran ini dan mereka telah berjaya memperoleh pingat emas dalam pertandingan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

"Khidmat penasihatan ini bertujuan untuk memberi galakan kepada para pelajar serta guru-guru untuk turut serta dalam menghasilkan pelbagai projek penyelidikan dan seterusnya mampu membawanya ke peringkat yang lebih tinggi lagi," ujarnya.

Tambahnya lagi, sasaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan lebih ramai pelajar dalam bidang sains dengan nisbah 60 peratus dan selebihnya lain-lain bidang, menjadi galakan kepada kami untuk mencetuskan minat para pelajar mengikuti bidang ini.

Dr. Hasni berkata demikian ketika berucap sempena Program Rangsangan Kerjaya Sains Genetik (MyDNA) Untuk Guru dan Pelajar Sekolah Menengah Negeri Perlis yang diadakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, Perlis.

IMG 9301

Program anjuran Kluster Perubatan Integratif dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM ini mendapat sokongan yang baik daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Ketua Unit Sains, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Puan Saripah Aton ketika merasmikan program itu berkata, beliau menghargai usaha murni USM dalam membangunkan bidang pembelajaran para pelajar sekolah terutamanya dalam bidang sains.

"Saya amat berharap agar program ini tidak hanya terhenti di sini dan ianya perlu diteruskan untuk tahun-tahun akan datang bagi memastikan program ini berjaya seperti yang diharapkan.

“Pihak JPN Perlis sentiasa terbuka dalam memberikan sokongan padu dalam usaha-usaha sebegini terutamanya dalam meningkatkan kemahiran dan keupayaan para pelajar," katanya.

Tambahnya lagi, JPN menyahut baik usaha penganjur dalam menggunakan Bahasa Inggeris dalam sesi pembentangan yang diadakan. Ini selaras dengan usaha KPM dalam melaksanakan Program Dwibahasa (Dual-Language Programme) yang diumumkan baru-baru ini."

Seramai 40 orang pelajar dan 20 guru pengiring dari 10 buah sekolah seluruh negeri Perlis terlibat dalam program sehari ini, yang melibatkan sesi ceramah kerjaya dalam bidang sains serta pendedahan kepada pelajar pengalaman sebenar melakukan ujikaji makmal berkaitan teknologi DNA dan Bioinformatik.

IMG 9274

“Saya pasti penggunaan peralatan makmal yang lebih moden berbanding peralatan di makmal sekolah menjadikan program ini lebih menarik dan meningkatkan minat pelajar,” katanya.

Program ini diakhiri dengan sesi pembentangan oleh semua pelajar bagi mendedahkan cara sebenar pembentangan di peringkat antarabangsa oleh pensyarah dan penyelidik.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Pengetua Hal Ehwal Akademik MRSM Beseri, Mohd Yusof Mamat.

Teks/Foto: Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 715

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024