USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPPJJ USM, TH PULAU PINANG ANJUR SANTUNI GELANDANGAN DI GEORGETOWN

GELANDANGAN GEORGETOWN
PULAU PINANG, 29 Disember 2015 – Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) dengan kerjasama Tabung Haji (TH) Pulau Pinang buat julung kalinya mengadakan Program Santuni Gelandangan di sekitar Georgetown baru-baru ini.
 
Menurut Pemangku Dekan, Dr. Ku ‘Azam Bin Tuan Lonik, program ini adalah untuk mendekati dan membantu golongan gelandangan dan seterusnya menyemai sikap ambil peduli terhadap golongan ini dalam kalangan peserta yang terlibat.
 
Program ini melibatkan kira-kira 80 orang peserta terutamanya pelajar PPPJJ kerana sebagai sebahagian aktiviti Taha@U TH yang melibatkan pihak TH dan pelajar universiti.
 
Para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikut kawasan sasaran iaitu sekitar Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Chulia.
 
Program ini juga turut mendapat kerjasama daripada ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Georgetown dalam memastikan keselamatan para peserta.
 
"Melalui program ini, hubungan silaturahim dapat dieratkan lagi di antara kedua-dua pihak iaitu hubungan yang terjalin jelas kelihatan semasa proses penyediaan makanan, pembungkusan barang keperluan dan pengedaran barangan kepada gelandangan," kata Ku Azam.
 
Tambahnya, kebanyakan peserta menyatakan bahawa ini adalah pengalaman pertama mereka terlibat dalam aktiviti seumpama ini dan bagi mereka ia adalah satu pengalaman yang memberi keinsafan terutamanya apabila ada peserta yang bertemu dengan kanak-kanak yang turut menjadi gelandangan akibat kesempitan hidup keluarga dan mereka masih belum menjamah makanan pada malam tersebut sedangkan waktu sudah menunjukkan jam 11.30 malam.
 
"Selain itu, pelbagai ragam gelandangan dapat dilihat sendiri oleh para peserta serta pengalaman ini telah menguatkan lagi semangat para peserta untuk meneruskan kerja sukarela dalam membantu komuniti terpinggir yang memerlukan, dan komitmen pihak penganjur iaitu ahli jawatankuasa dan para peserta amatlah terserlah di sepanjang pelaksanaan program ini," katanya lagi.
 
Program ini dirasmikan oleh  Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Kuala Lumpur, Haji Mohamad Saimi Bin Mat Som.
 
Yang turut hadir adalah Ahli Lembaga Gabenor USM Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly,  manakala TH Pulau Pinang diwakili oleh Pengarah baharunya iaitu Tuan Haji Mohamad Bin Abas beserta barisan pentadbir yang lain.
 
Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : PPPJJ USM
  • Created on .
  • Hits: 1257

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024