KEUPAYAAN PENSYARAH USM TERUS DIIKTIRAF DI PERSADA ANTARABANGSA
NIBONG TEBAL, 22 Disember 2015 – Pensyarah Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad sekali lagi mengharumkan nama universiti di persada antarabangsa apabila menerima anugerah “World Scientist Awards 2015” oleh badan inovasi berprestij Korea.
Abdul Latif menerima anugerah tersebut melalui inovasi penyelidikan berimpak tinggi beliau bertajuk “Production of L-homophenylalanine as Cardio Drug Precursor via Enzymatic Membrane Bio Reactor” di Majlis Korea Inventor Award Festival 2015 (KIAF 2015) yang berlangsung di Seoul, Korea baru-baru ini.
Ketika ditemui, beliau berkata, inovasi ini berkenaan penghasilan bahan kimia asas L-homophenylalanine sebagai bahan untuk menghasilkan ubat bagi merawat pesakit jantung dan ianya dihasilkan menggunakan teknologi terkini melalui kaedah bioreaktor membran berenzim.
“Saya amat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan dijadikan pencetus semangat untuk saya meneruskan kecemerlangan dalam usaha penyelidikan saya bagi menghasilkan output penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat sejagat,” kata penyelidik tersohor itu yang sepanjang kerjayanya telah memenangi pelbagai anugerah berprestij peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, antaranya termasuk diiktiraf sebagai salah seorang saintis dunia yang mempunyai minda paling berpengaruh (The World’s Most Influential Scientific Minds 2014), Merdeka Awards 2014 dan yang terkini Malaysia’s Rising Star Award.
Abdul Latif bertekad untuk terus bergiat aktif dalam usaha penyelidikan dan pembangunan seterusnya yang boleh dikomersialkan serta menyumbang hasil penulisan ilmiah ke jurnal berimpak tinggi bagi kepentingan masyarakat dan negara.
Menurutnya lagi, penyelidikan tersebut telah mendapat banyak pengiktirafan sebelum ini dan memenangi beberapa anugerah pertandingan penyelidikan termasuklah di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2009, Malaysia Technology Expo (MTE) 2010 dan Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2010.
Tambahnya, projek penyelidikan tersebut juga telah berjaya dipatenkan di Malaysia, Korea dan Australia.
Lebih manis lagi, apabila beliau menerima kejayaan berganda apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi dua kategori iaitu World Life Science Grand Award dan World Biomedical Science Grand Award.
Dalam majlis yang sama, Abdul Latif turut diumumkan sebagai wakil tunggal dari Malaysia yang terpilih dan dilantik oleh Korea Invention Academy (KIA) sebagai Profesor Kunjungan kepada Akademi Harta Intelek Korea.
KIAF 2015 dianjurkan oleh Korean Inventions News berpangkalan di Korea bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada penerima yang layak dalam pelbagai bidang dan telah memberi sumbangan serta impak kepada sosio-ekonomi termasuk alam sekitar, manusia sejagat dan juga ekonomi.
Mereka yang menerima pengiktirafan termasuklah pelajar yang dikenali sebagai saintis muda atau tunas, profesor, saintis, penyelidik, doktor dan golongan profesional lain dari serata dunia melalui penemuan teknologi baru, rekacipta, inovasi dan kreativiti dalam bidang kajian masing-masing.
Teks: Mohd Kamil Ashar
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Ihsan Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad
- Created on .
- Hits: 926