USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KOMITED BANTU OKU

IMG 1044

KUBANG KERIAN, 21 Disember 2015 - Bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri merupakan impian setiap orang termasuk orang kurang upaya (OKU) kerana kemampuan untuk bekerja dan mendapat pendapatan akan meningkatkan harga diri dan mampu mengubah taraf hidup mereka.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim berkata, kesedaran masyarakat mengenai potensi dan kebolehan OKU masih lagi rendah.

“Masyarakat hari ini hanya melihat kekurangan yang ada pada OKU dan lupa bahawa  mereka  juga mempunyai  kelebihan tertentu yang boleh digilap,” kata Mohd Zulkifli berucap dalam Majlis Graduasi Program Transformasi OKU.

Program Transformasi OKU ini telah membuktikan bahawa OKU intelek boleh ditukar status mereka daripada liabiliti kepada status produktiviti. Pada masa ini masih ramai OKU intelek sama ada dalam kategori masalah pembelajaran, autisme atau terencat akal yang masih tidak boleh berbuat apa-apa termasuk menguruskan diri sendiri kerana tidak ada program khusus untuk mereka.

“Pada masa ini, belum ada program khusus, bagi membolehkan OKU yang tamat belajar mendapat pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kebolehan mereka, kerana itu untuk menyelesaikan masalah ini PPSK mengadakan Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek di bawah kategori “supported employment” iaitu pekerjaan dan persekitaran pekerjaan yang diubahsuai dan diberi sokongan bagi membolehkan mereka bekerja mengikut kebolehan yang ada,” jelasnya lagi.

IMG 1105

Tambah Mohd Zulkifli , pada masa ini terdapat dua saluran pendidikan utama untuk anak-anak OKU di Malaysia iaitu bagi OKU yang berkebolehan menjaga diri sendiri akan ditempatkan dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah kelolaan Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia dan bagi OKU yang tidak mampu menjaga diri serta tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam bilik darjah akan ditempatkan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada majlis Graduasi Program Transformasi OKU yang diadakan di Hotel MGU Firdaus ini, seramai 10 orang pelatih menerima sijil masing-masing.

Tahun ini merupakan kali pertama para pelatih diraikan dalam majlis yang gilang-gemilang dan diberikan peluang memakai jubah konvokesyen yang memberi makna tersendiri kepada yang kelihatan begitu gembira dan teruja menerima sijil masing-masing dari Pengarah Jaringan  Komuniti, Bahagian Jaringan Industri Dan Masyarakat, Syed Yusof Syed Kechik.

IMG 1123

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah JKM Kelantan, Norazman Ab. Manaf; Setiausaha Bahagian, Unit NBOS UCTC, Dr. Abdul Wahab Che Mat serta wakil daripada agensi-agensi yang terlibat.

Teks: Anawiah Abdul Aziz/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1030

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024