USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERSAMA JAYAKAN TRANSFORMASI UNIVERSITI HADAPI CABARAN MASA HADAPAN

DSC 5911fgh

Profesor Dato’ Dr. Omar Osman
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia 
 
Tahun 2015 menutup tirainya dengan pelbagai kejayaan yang telah dicapai melalui komitmen dan usaha bersungguh-sungguh semua pihak di universiti.  Kita telah melaluinya dengan penuh keyakinan dan meletakkan asas yang kukuh untuk meneruskan citra kejayaan yang ada dalam melakukan transformasi untuk masa hadapan.
 
Ramai pensyarah yang mengukir pelbagai kejayaan dalam penyelidikan dan inovasi, menempa nama yang tersohor dalam kekuatan masing-masing, menjadi bintang di persada dunia akademik atas pelbagai pentas pengiktirafan, penerbitan yang diiktiraf antara yang paling banyak dirujuk, jurnal dan penulisan yang disegani, penemuan-penemuan baharu dalam pelbagai bidang, penandatangan persefahaman untuk pelbagai tujuan di dalam dan di luar negara termasuk untuk pengkomersilan produk bernilai berjuta ringgit, penandatanganan kontrak penyelidikan dengan pelbagai agensi dengan  nilai ilmu dan dana yang besar serta pelbagai lagi.
 
Malah, kita terus menempa nama di persada dunia dengan penerokaan e-book, penawaran program pesisir, kejayaan dan penghasilan graduan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak di luar negara dalam ijazah pertama seperti Sains Perubatan, mahu pun penawaran ijazah tinggi, kerjasama untuk penyelidikan sains penuaan dan pengukuhan kerjasama dengan institusi dan pelbagai pihak di Jepun, pemerkasaan usaha pemindahan ilmu yang membolehkan diberi kepercayaan sehingga terbinanya bangunan khas dari dana luar, pembinaan pusat dan arena sukan untuk pengkomersilan perkhidmatan sukan dan rekreasi malah juga pembangunan sukan air di luar negeri Pulau Pinang serta banyak lagi usaha yang membanggakan kita.
 
Ternyata 2016 tiba dengan segala cabaran besar yang memerlukan gabungan tenaga dan usaha, pemerkasaan nexus keilmuan dan usaha serius dalam mencari peluang untuk menjana pendapatan bagi menampung keperluan masa hadapan.
 
Yang nyata kita, universiti berada dalam era transformasi dalam banyak perkara termasuk  pengurusan dan penjanaan kewangan untuk lebih berautonomi. USM juga sedang dalam proses transformasi pembangunan sumber manusia terutama staf pentadbiran dan akademik dalam melaksanakan ‘multi tasking’ untuk meningkatkan produktiviti memperhebatkan program kecemerlangan universiti pada semua peringkat dalam semua bidang termaju.
 
Semua ini perlu kita lakukan apabila tirai 2016 dibuka dengan penuh keyakinan dan kerja bersama-sama.  Dengan berteraskan kepada Rukun Nilai USM yang baharu dibangunkan sebagai asas penting untuk memperkasakan roh universiti tatkala kita juga sedang berusaha untuk berjalan seiring dengan keperluan dan permintaan semasa dan masa hadapan.
 
Kita inginkan hasrat semuanya berjalan seiring – menjadi sebuah universiti global dengan nilai keilmuan yang tinggi dan diyakini serta mempertahankan fundamental sebuah universiti yang berteraskan prinsip kecendekiawanan dan keilmuan yang tinggi dan berintegriti serta pada masa yang sama menenuhi keperluan pasaran dan berusaha untuk keluar dari pergantungan untuk menjadi lebih berautonomi.
 
Rukun Nilai USM – akan  membina jiwa dan keperibadian yang dapat memacu kecemerlangan membentuk budaya kerja dan tadbir urus yang berintegriti, membina semangat berorganisasi yang harmoni dan sejahtera serta membentuk peribadi warga USM yang holistik berpegang kepada kebijaksanaan (wisdom), kearifan dan berhemah dalam tindakan dan kehidupan, kebenaran (Truth) dengan sentiasa berlaku adil, mempertahankan yang benar dan menolak yang batil, membentul qalbu yang mempunyai kesucian dan keluhuran aqal budi, jujur, ikhlas, berdedikasi dan bertanggungjawab, mempunyai kemahiran dalam komunikasi, telus dalam segala tindakan dan urusan dengan mementingkan kebersamaan, keterbukaan dan kesejahteraan, mempunyai nilai kemanusiaan tinggi yang sentiasa prihatin dan berperikemanusiaan serta menjaga nilai keindahan estetika, menyenangkan dan membawa kesejahteraan.
 
Rukun Nilai USM ini perlu disinergikan dengan 9 Teras USM-APEX iaitu keilmuan, kemanusiaan, masa hadapan, kesejagatan, kelestarian, kelainan, kesekahteraan, perubahan dan pengorbanan.
 
Tahun 2016 juga perlu kita jalani dengan amalan kehidupan yang lebih sejahtera, menjaga kesihatan diri dan mental, rohani dan fizikal, sentiasa mementingkan nilai kekeluargaan dan memberi perhatian besar kepada institusi keluarga serta menjaga nilai-nilai moral, etika dan nama baik organisasi yang ada.
 
Semua ini akan menjadi rencah yang menentukan kejayaan kita mengemudi bahtera sebuah Menara Ilmu yang semakin kompleks, besar dan rencam sama ada dalam konteks pengstrukturan mahu pun sebagai sebuah dunia akademia yang tersendiri dengan nilai sebuah universiti yang bersifat universal dan nilai sejagat yang seharusnya  dibangunkan dari kekuatan ilmu yang dapat menarik pelbagai pihak menjulang ilmu pengetahuan dalam membina kekuatan dan kelestarian masa hadapan.
 
Inilah juga menjadi teras sebuah universiti global tumpuan para cendekiawan untuk datang dan membangunkan dunia ilmu berasaskan nilai-nilai murni yang kita bangunkan selama ini sekaligus menghadapi pelbagai cabaran yang ada.  Kekuatan ini jugalah yang akan menentukan kelangsungannya nanti dan sumber untuk kita berkolaborasi melalui kepercayaan dan keyakinan teguh terhadap kualiti dan keupayaan ilmu dan kepakaran yang  kita miliki.
 
Selamat Tahun Baharu 2016 dengan doa agar kita semua sentiasa dirahmati Allah SWT dan diberikan-Nya kekuatan untuk bersatu hati memaknakan erti sebuah universiti global yang kita hasratkan  untuk masa hadapan yang lestari dan sejahtera dalam semangat Kami Memimpin, Memacu Kecemerlangan.
 

  • Created on .
  • Hits: 1356

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024