USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KITA MAMPU HADAPI CABARAN TERMASUK JANA PENDAPATAN - PROF LKT

IMG 2042

PULAU PINANG, 23 Disember 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) mampu harungi pelbagai cabaran pada masa hadapan termasuk untuk menjana pendapatan.

Pengarah, Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan dan juga Pengarah Pejabat Kolaborasi Antarabangsa Profesor Dr. Lee Keat Teong berkata saranan Naib Canselor untuk ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) berbuat demikian amat tepat dengan masanya.

"Sebagai contoh, kebanyakan Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) di universiti negara Barat mampu memberi sebahagian daripada  geran penyelidikan sehingga 30 peratus sebagai kos operasi universiti.

"Walau bagaimanapun, ia tidak diambil sebagai keuntungan kepada universiti atau semata-mata untuk kos pengurusan, kerana apabila penyelidik menjalankan penyelidikan terdapat banyak kos sampingan yang terlibat, seperti elektrik, air, dan lain-lain apatah lagi gaji mereka yang pasti dibiayai universiti," jelas Lee Keat Teong. 

Tambahnya lagi adalah penting untuk mengukuhkan penjanaan kewangan universiti supaya kita boleh menjadi autonomi dalam bidang yang disasarkan.

"Apabila kita menjana pendapatan sendiri, kita akan tahu bahawa ia akan mengambil banyak usaha dan dengan itu ia juga akan menggalakkan perbelanjaan berhemah dan bertanggungjawab," tegasnya.

Ditanya perasaan beliau setelah diberi kepercayaan mengetuai kedua-dua PTJ tersebut, Lee Keat Teong amat teruja dan berterima kasih kepada Naib Canselor serta pihak pengurusan tertinggi universiti kerana memberi kepercayaan kepada beliau.

"Ini merupakan penghormatan buat saya bagi menyumbang kembali bakti kepada USM yang telah banyak membantu saya mencapai banyak perkara dalam perjalanan akademik.

"Pencapaian akademik saya tidak mungkin tercapai tanpa sokongan USM selama ini termasuklah penyelia dan mentor yang banyak menjadi tulang belakang saya malah jangan fikir apa institusi boleh beri kepada anda, tetapi fikirlah apa yang anda boleh menyumbang kepada institusi," tegasnya lagi.

Menyentuh tentang cabaran yang bakal ditempuhi, Lee Keat Teong berkata pengurusan masa yang efektif penting dalam menghadapi cabaran menguruskan kedua-dua PTJ ini.

"Saya akan berusaha menguruskan masa dengan cara terbaik bagi memastikan kedua PTJ di bawah saya ini akan lebih efisen dan efektif dalam urus tadbir.

"Kepercayaan yang tinggi perlu diberi kepada pegawai-pegawai agar mereka lebih bertanggungjawab dalam bersama-sama memastikan hasrat universiti tercapai," katanya.

Beliau menyambut baik pelantikan ketua-ketua PTJ yang telah diadakan kelmarin dengan melihat wajah baharu dan lama yang akan bersama berganding bahu memajukan USM.

Lee Keat Teong menganggap usaha ini merupakan petanda baik dalam menggabungkan mereka yang baharu dan lama untuk berkongsi kepakaran demi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1249

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024