TYT YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG RASMI FORUM PENGURUS YATIM ASEAN
PULAU PINANG, 23 Disember 2015 – Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas merasmikan Forum Pengurus Yatim ASEAN Kali ke-6 yang diadakan di Dewan Persidangan Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.
Mesyuarat ini dihadiri oleh kira-kira 100 orang wakil-wakil daripada pertubuhan anak yatim dari pelbagai negara, antaranya Cambodia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Malaysia.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (PEYATIM), Profesor Dato' (Dr.) Haji Tengku Mahmud Mansor berkata, pelbagai program diadakan sejak kira-kira lima tahun lalu ke arah menggerakkan pertubuhan anak yatim ini supaya nasib anak-anak yatim terbela.
“Program yang diadakan itu bukan sahaja memberi tumpuan membela kebajikan anak-anak yatim di negara ini tetapi turut berusaha memastikan anak-anak yatim berkenaan mampu menjadi insan yang berdaya saing apabila mereka meninggalkan asrama kelak,” katanya.
Tambah Tengku Mahmud lagi, Kolej Universiti Bestari (UCB) turut memberi peluang untuk anak-anak yatim ini melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dengan menyediakan biasiswa.
“Kini seramai enam orang anak-anak yatim daripada Indonesia dan Thailand telah menerima biasiswa mereka dan diharap dengan adanya peluang ini golongan ini tidak akan merasa diri mereka diabaikan selain dapat memajukan masa hadapan mereka.
“Dengan adanya wakil daripada negara-negara Asean yang lain, diharap mesyuarat kali ini dapat mencapai kata sepakat dalam memastikan anak-anak yatim ini turut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa meminggirkan keperluan mereka ini,” jelasnya lagi.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada USM yang membantu mengadakan mesyuarat ini dan berharap agar kerjasama seperti ini akan diteruskan pada masa hadapan.
Yang hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Konsul General Republik Indonesia di Pulau Pinang Taufiq Rodhy dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) yang juga Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang Tan Sri Dato’ Seri Haji Mohd Yussof Latiff.
Teks: Syuhada Abd Aziz/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1416