RUKUN NILAI USM PERKUKUH AGENDA APEX
PULAU PINANG, 23 Disember 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) membangunkan 5 Rukun Nilai untuk merealisasikan konsep dan falsafah Saya Sayang USM dan USM Menara Ilmu Tercinta dengan hasrat untuk membina jiwa dan keperibadian yang dapat memacu kecemerlangan (USM-APEX), pedoman dalam memacu kecemerlangan, membentuk budaya kerja dan tadbir urus yang berintegriti, membina semangat berorganisasi yang harmoni dan sejahtera serta membentuk peribadi pelajar USM yang holistik sesuai dengan falsafah HEBAT.
Menurut Pengarah Pusat Transformasi Insan, Dato’ Profesor Madya Al-Ustaz Hj. Ellias Haji Zakaria, Rukun Nilai USM tersebut meliputi QALBU yang berasaskan ‘Qalbun Saleem’ atau Pureness of Heart dengan berlandaskan amanah, lisan, bersih dan ukhuwah yang kesemuanya menjadi tunjang kepada rukun Kebijaksanaan, Kemanusiaan, Kebenaran dan Keindahan.
“USM melihat kepada kepentingan memahami rukun ini yang mementingkan soal kebijaksanaan (wisdom), kearifan dan berhemah dalam tindakan dan kehidupan, mementingkan kebenaran (Truth) dengan sentiasa berlaku adil, mempertahankan yang benar dan menolak yang batil, membentuk qalbu yang mempunyai kesucian hati, jujur, ikhlas, berdedikasi dan bertanggungjawab, mempunyai kemahiran dalam komunikasi, telus dalam segala tindakan dan urusan dengan mementingkan kebersamaan, keterbukaan dan kesejahteraan, mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi dengan sentiasa prihatin dan berperikemanusiaan serta menjaga nilai keindahan estetika, menyenangkan dan membawa kesejahteraan,” kata Ellias.
Jelasnya lagi, Rukun Nilai USM ini perlu disinergikan dengan 9 Teras USM-APEX iaitu keilmuan, kemanusiaan, masa hadapan, kesejagatan, kelestarian, kelainan, kesejahteraan, perubahan dan pengorbanan.
Beliau memberikan penjelasan ini dalam Majlis Pelantikan Ketua Jabatan Sesi 2016-2018 di sini hari ini.
Menurutnya lagi, keseluruhan Rukun Nilai USM ini perlu diterapkan dalam Kepimpinan USM melalui terma rujukan tanggungjawab pemimpin dalam amalan kuasa, pengurusan sumber manusia, pemacuan kejayaan Pusat Tanggungjawab mengikut visi, misi, baik akademik mahu pun bukan akademik dalam mencapai KPI/KIP, malah juga dalam kawalan kewangan serta kawal selia kemudahan dan aset universiti.
Menyentuh tentang hal yang sama, Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, semua pihak di USM perlu menghayati Rukun Nilai USM ini bersekali dengan menjiwai Rukun Negara sebagai asas utama pembangunan institusi, masyarakat dan negara.
Omar menyeru dan meminta agar kepimpinan USM malah warga universiti seluruhnya sentiasa berpegang teguh kepada Rukun USM yang diharapkan akan membantu dalam memacu kecemerlangan dan membentuk peribadi insan yang mulia dan berguna kepada agama, bangsa, negara malah dunia seluruhnya.
Teks: Mohamad Abdullah/Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 3599