USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

CABARAN DALAM PENGGABUNGAN DESASISWA

 DSC3313l

Pulau Pinang, 23 Disember 2015 - Penggabungan pengurusan desasiswa menjadi satu cabaran besar dalam peningkatan kualiti perkhidmatan kepada pelajar.

Menurut Penggawa Desasiswa Bakti Permai dan Cahaya Gemilang Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Shafie Ariffin, penggabungan ini amat mencabar baginya kerana bilangan pelajar sebagai penghuni kini bertambah kepada kira-kira 2,000 orang berbanding dengan hanya kira-kira 650 orang penghuni Desasiswa Cahaya Gemilang sebelum ini.

"Apatah lagi Desasiswa Bakti Permai yang menempatkan pelajar ijazah tinggi dan Rumah Antarabangsa yang memerlukan perhatian khas sesuai dengan kedudukan dan keperluan mereka yang memerlukan kemudahan lebih kondusif sesuai dengan pelajar peringkat sarjana dan doktor falsafah dengan prasarana yang berbeza serta kemungkinan perlu dilihat semula dalam jangka panjang," kata Mohd Shafie.

Jelasnya, Desasiswa Bakti Permai juga adalah antara yang paling lama sebagai satu warisan perlu dipelihara dan dikekalkan keistimewaanya termasuk blok yang dikenali sebagai Desa Hilton di samping adanya ramai peniaga kafetaria yang sesetengahnya lebih 30 tahun berniaga di situ.

"Mereka ini sudah sinonim dengan kampus USM yang menjadi tarikan keistimewaan kepada masyarakat kampus sama ada pelajar mahu pun warga lainnya,"k atanya lagi.

Namun pada masa yang sama, pihaknya akan terus memastikan peranan dan falsafah asal desasiswa yang menjadi tempat pembangunan jati diri pelajar, menanam sikap bekerjasama dan mengamalkan budaya murni masyarakat, bergotong royong, menyemai perpaduan kaum dan sebagainya akan terus dipertahankan dalam kalangan penghuni yang ada.

"Kita perlu menjadikan desasiswa sebagai tempat yang melaksanakan konsep 'learning and leaving' - tempat belajar dan hidup bersama dengan mengambil kira konsep HEBAT yang diperkenalkan oleh USM," kata Mohd. Shafie.

Menyentuh tentang peranan desasiswa dalam menjana pendapatan, Mohd. Shafie berpendapat, usaha ini telah lama dibuat dan akan diperkukuhkan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menyediakan pakej kemudahan sukan dan rekreasi serta untuk tujuan seminar dan persidangan terutamanya semasa cuti panjang.

"Selama ini pun kita telah melakukannya dengan baik dengan menjana pendapatan dari pihak luar, tentu sahaja usaha ini boleh diperkukuhkan lagi dengan usaha promosi dan bekerjasama dengan pelbagai pihak lain sesuai dengan kemudahan-kemudahan yang terdapat di kampus USM serta tentu sahaja hasrat universiti tersebut dapat dipenuhi dengan sewajarnya," kata Mohd. Shafie lagi.

Beliau juga berharap usaha ini akan dibuat melalui pelaksanaan tadbir urus yang baik dengan pengurangan segala peraturan dan prosedur yang dapat menyokong kepada usaha ini.

 DSC3300j

Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, yang juga Penggawa Desasiswa Restu, Dr. Nazarudin Zainun berkata Ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) perlu menjana pendapatan bukanlah suatu perkara baharu.

"Sudah lama perkara ini berjalan, cumanya sebelum ini usaha pencarian dana itu tidak diinstitusikan dan hanya usaha banyak melibatkan individu.

"Tetapi dengan senario ekonomi semasa maka fungsi dan peranan ketua PTJ juga berubah sesuai dengan tuntutan zaman cuma bagi sebahagian daripada ketua PTJ agak mudah menjana pendapatan sedangkan sebahagian lagi mungkin perlu lebih berusaha untuk menjana pendapatan," kata Nazarudin.

Ditanya perasaan beliau atas pelantikan ini, beliau berkata ini merupakan satu amanah yang berat serta perasaan bercampur antara tugas dan tanggungjawab.

"Terlintas juga kerisauan bagi memastikan harapan universiti yang tinggi dapat dipenuhi dan dengan sokongan daripada semua segala cabaran dan strategi dapat dibincangkan dan diatur sesuai dengan kehendak universiti," katanya

Tambahnya lagi, kedua-dua PTJ ini adalah berasaskan perkhidmatan dan beliau telah lalui selama beberapa tahun.

Selain tu beliau amat bersyukur dengan gandingan tenaga baharu yang berdedikasi dan dahagakan bimbingan serta tunjuk ajar dengan tenaga lama yang berpengalaman. 

"Tentunya amat menarik berada di dalam sebuah kapal yang besar dengan pelbagai peringkat dan semoga ketua-ketua PTJ berpengalaman dapat menyalurkan ilmu dan kepakaran kepada yang baharu demi merealisasikan hasrat universiti," kata Nazarudin lagi. Teks: Mohamad Abdullah dan Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 1159

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024