USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RUKUN NILAI MAMPU BANTU LONJAKKAN KEJAYAAN USM

 DSC3252j

Pulau Pinang 23 Disember 2015 - Rukun Nilai yang dibangunkan oleh Universiti Sains Malaysia (USM) mampu membantu melonjakkan kejayaan dalam memacu kecemerlangannya pada masa hadapan.

Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan yang akan memulakan tugasnya 2 Januari 2016 Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, suntikan Rukun Nilai USM bakal memberikan nilai tambah kepada pengurusan USM sebagai sebuah universiti APEX serta meniupkan semula roh USM yang murni dan di rahmati Allah SWT.

Rukun Nilai USM diperkenalkan melalui kerangka APEX 2020 yang menekan nilai-nilai murni yang diterapkan sebagai pengukuhan kepada 9 teras APEX sebelum ini kepada semua berasaskan kepada Qalbun Saleem, Amanah, Lisan, Bersih dan Ukhwah yang menjadikan QALBU.

“Saya amat percaya kepada pendekatan seimbang yang berasaskan hasil dan pendekatan inilah juga yang saya akan ambil dalam memikul dan melaksana amanah yang diberi agar usaha ini dipermudahkan Allah S.W.T.,” kata Ahmad Farhan yang juga pernah dipinjamkan sebagai Ketua Pengarah  di Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia pada tahun 2008-2011.

Secara peribadi Ahmad Farhan amat berterima kasih dan bersyukur kerana diberi kepercayaan dan amanah besar untuk memegang dua jawatan yang kritikal iaitu sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejururuteraan Awam dan juga pada masa yang sama sebagai Pengarah Kampus Kejuruteraan yang berstatus Penolong Naib Canselor iaitu gelaran baharu yang diberikan untuk Pengarah Kampus Kejuruteraan.

“Namun dari perspektif yang berbeza,  saya melihat gabungan dua jawatan ini membolehkan sinergi berkesan yang boleh meningkatkan keupayaan PTJ di Kampus Kejuruteraan untuk terus menerajui usaha mengunggulkan USM dan saya memerlukan kerjasama semua pihak dalam kesatuan hati dan kemurnian tekad untuk meningkatkan kecemerlangan USM.

“Semasa taklimat Naib Canselor, beliau telah menjelaskan segala cabaran yang perlu USM hadapi dan sebagai ahli pasukan,  saya menerima amanah yang diberikan dan akan menyesuaikan pendekatan strategik,  taktikal dan juga operasi untuk menangani cabaran ini,” tambah Ahmad Farhan.

 DSC3255k

Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSK), Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Balakrishnan Abdullah amat berterima kasih kepada pengurusan tertinggi USM terutamanya Naib Canselor kerana memberi kepercayaan bagi menerajui PPSK.

"Sejujurnya saya amat gementar dengan pelantikan ini, walaubagaimanapun saya akan menggalas amanah ini sebaik mungkin demi memastikan kejayaan diharapkan untuk Pusat Pengajian," kata Amirul Al-Ashraf.

Tambahnya lagi, PPSK adalah antara PTJ yang selalu mendapat perhatian dan mempunyai reputasi tinggi, malah merupakan antara lima PTJ terbaik berdasarkan KPI.

"Ini merupakan cabaran besar menanti saya bagi memastikan reputasi ini kekal dan dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya lagi.

Beliau menyambut baik saranan Naib Canselor bagi mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menambah pendapatan melalui pelbagai kaedah.

Tambah beliau lagi secara keseluruhannya pelantikan ketua PTJ baharu kali ini terdiri daripada barisan muda dan lama yang sangat mantap sekaligus mampu meneruskan misi dan visi universiti seperti diharapkan. Teks: Nor Rafizah Md Zain dan Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 1075

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024