KETUA PTJ BAHARU SEDIA HADAPI CABARAN MASA HADAPAN
Pulau Pinang, 23 Disember 2015 - Ketua-ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang baharu dilantik menerajui pelbagai pusat pengajian dan pusat kecemerlangan menyambut baik saranan Naib Canselor untuk menjayakan Pelan Transformasi Universiti Sains Malaysia (USM) dalam menghadapi cabaran masa hadapan termasuk menjana kewangan.
Penolong Naib Canselor yang baharu dilantik, Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Mahmood menganggap pelantikannya adalah satu amanah besar dan akan berbincang lebih mendalam dengan Naib Canselor.
Beliau yang baru tiba dari luar negara berkata, pemilihan muka baharu dalam kepimpinan akademik adalah satu keperluan kerana tiba masanya untuk USM mempunyai pelapis baharu.
"Kita tidak akan selamanya berada di sini namun yang penting ialah mempertahankan nilai-nilai dan roh sesebuah universiti,"kata Wan Ahmad Kamil.
Sementara itu Dekan baharu Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK). Profesor Madya Dr. Narimah Samat berkata, tugas dan tanggungjawab yang berat perlu dipikul oleh semua ketua jabatan dalam memacu kecemerlangan USM.
Narimah menyambut baik hasrat Naib Canselor dalam penjanaan kewangan yang mana memerlukan kreativiti ketua jabatan untuk melihat kepakaran dalam setiap PTJ dan memasarkan kepakaran tersebut.
"Selain daripada penjanaan kewangan melalui program pesisir Sarjana Sastera (Pengajian Penterjemahan) yang dijalankan di Kuala Lumpur, PPIK sedang dalam perancangan menawarkan Doktor Falsafah dalam English Language Studies melalui mod campuran dan sarjana Muamalat malah PPIK juga akan cuba menjana kewangan melalui sastera kreatif dan media baru," kata Narimah.
Beliau terharu diberikan tugas besar ini, dan faham ianya merupakan tanggungjawab yang besar untuk menerajui PPIK iaitu salah sebuah PTJ yang besar di USM dan akan cuba memberi yang terbaik dalam menggembeleng tenaga pensyarah yang muda dan yang telah senior untuk memajukan PPIK.
"Pelantikan baharu dan pelantikan semula menyaksikan gabungan yang mantap yang mana dapat memberikan bimbingan dalam usaha memacu kecemerlangan USM," tambah Narimah.
Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakat (PPSK), Profesor Madya Dr. Azlinda Azman berkata, penjanaan pendapatan adalah cabaran utama yang bakal dihadapi pada tahun hadapan namun dengan rangkaian dan kepakaran yang ada, USM mampu untuk menghadapinya.
"Perasaan saya sedikit gementar dan bimbang tidak dapat memenuhi ekpektasi universiti, tapi saya akan cuba yang terbaik selain akan cuba untuk membawa kembali alumni USM untuk bekerjasama bersama universiti dalam pelbagai bidang yang mana saya tahu ada ramai alumni yang berjaya dan boleh bantu menyumbang," katanya.
Sementara itu, bagi Azlinda, perlantikan ramai muka baharu sebagai ketua PTJ adalah satu yang baik dalam usaha USM membentuk pelapis generasi baru untuk meneruskan perjuangan USM.
"Beri peluang kepada muka baru dalam berkongsi idea dan kepakaran untuk kemajuan USM, walau bagaimana pun, tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman masih perlu dalam memantapkan perjuangan USM," jelasnya lagi.
Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Profesor Madya Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, menyambut baik gesaan untuk menjana pendapatan tetapi elok jika ketua PTJ diberikan latihan untuk lebih berkesan, malah menganggap ketua-ketua jabatan yang baharu dilantik adalah mantap kerana menggabungkan berpengalaman yang lama dan baharu serta imbangan jantina yang lebih baik.
"Perasaan saya bercampur antara seronok kerana dapat masuk dalam pasukan pengurusan untuk membantu universiti tetapi pada masa yang sama bimbang kerana amanah dan tanggungjawab yang dipikul," kata Wan Ahmad Jaafar mengulas pelantikannya.
Beliau juga akan mengkaji peranan yang akan dimainkan dengan mendapatkan pandangan dari pengurusan alumni sekarang dan persatuan alumni serta semua pihak yang berkaitan.
Pengarah Bahagian Kolaborasi Masyarakat dan Industri, Syed Yusof Syed Kechik berkata, cabaran besar dihadapinya ialah untuk menerokai peluang yang ada sebaik mungkin.
"Kita perlu lakukan yang terbaik dalam memenuhi keperluan universiti untuk terus maju dan bergerak ke hadapan termasuk dalam menjana kewangan bermula dengan proses penjimatan dalam semua aspek yang perlu selari dengan usaha memperolehi pendapatan baharu dengan memperkukuhkan sinergi yang ada," kata Syed Yusof.
Tambahnya, usaha perlu dilakukan dengan mengenalpasti setiap ruang dan peluang termasuk dalam memastikan usaha kolaborasi masyarakat dapat dibantu oleh pelbagai termasuk industri melalui dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka kerana dana universiti tidak mampu lagi menampung usaha ini serta terus mengukuhkan jambatan hubungan dengan pihak industri.
"Universiti juga perlu berani mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menghadapi dunia perniagaan sebenar tanpa terikat dengan banyak prosedur dan peraturan kewangan yang ada,"katanya lagi. LAPORAN: Mohamad Abdullah, Nor Rafizah Md Zain dan Syuhada Abdul Aziz.
- Created on .
- Hits: 1678