RAMAI MUKA BAHARU DILANTIK SEBAGAI PEMIMPIN PELAPIS HADAPI CABARAN BESAR MASA HADAPAN
Teks: Mohamad Abdullah & Nor Rafizah Md. Zain
Foto: Zamani Abd Rahim & Muhammad Firdaus Khiruddin
PULAU PINANG, 22 Disember 2015 - Terdapat ramai muka baharu dilantik sebagai pemimpin pelapis dalam kalangan ketua Pusat Tanggungjawab (PTJ) - dekan, pengarah, penyelaras dan penggawa - untuk menghadapi cabaran lebih besar dalam memegang amanah membawa Universiti Sains Malaysia (USM) ke hadapan bermula 2016 untuk tempoh tiga tahun bagi menghadapi pelbagai cabaran yang ada termasuk membantu menjana pendapatan melalui pelbagai kaedah.
Dalam Taklimat Pelantikan Dekan/Pengarah/Penggawa sesi 2016-2018 di sini hari ini, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata, hal ini adalah penting kerana Universiti Awam telah dikurangkan bajet tahunannya dan perlu menjana pendapatan untuk menampung pengurangan bajet tersebut di samping menyusun strategi menghadapi pelbagai cabaran besar pendidikan tinggi masa hadapan.
"Pada masa lalu misalnya, desasiswa-desasiswa USM telah menunjukkan keupayaan besar dalam menjana kewangan terutamanya dari pihak luar yang seharusnya menjadi satu model yang boleh dicontohi di samping beberapa pusat pengajian dan pusat penyelidikan yang berupaya menjana dana dari pelbagai agensi luar," kata Omar.
Tambahnya lagi, walau bagaimanapun Pusat Pengajian (PP) dan PTJ lain akan dipastikan mempunyai dana yang cukup untuk tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran malah membantu yang berhadapan dengan kesukaran," tambah Omar.
Beliau juga turut mengumumkan usaha menggabungkan pelbagai kepakaran akademik dan penyelidikan dengan mengutamakan elemen pemindahan ilmu untuk meningkatkan keberkesanan usaha membantu masyarakat melalui nexus dalam pelbagai bidang termasuk kemiskinan bandar dan Industri Kecil dan Sederhana (SMEs) termasuk mengukuhkan sinergi melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak, agensi dan institusi di dalam dan di luar negara.
"Dijangka 10 nexus lonjakan USM akan diselaraskan aktivitinya termasuk USM4SME, Water Security, Penambahbaikan Pembangunan Bandar, Mengurangkan Jenayah, Pengurusan Bencana, Warisan dan Arkeologi dan lain-lain lagi yang dibangunkan dan diselaraskan oleh pakar-pakar yang akan dilantik," kata Omar.
Dalam penstrukturan semula beberapa pusat pengajian dan pusat dalam memenuhi Pelan Transformasi Universiti selaras dengan dasar negara ialah penubuhan Pusat Pemindahan Ilmu, Pusat Penyelidikan Biokimia Analisis atau Analytical Biochemistry Research Centre (ABRC), Pusat Inkubasi Universiti, Pusat Mobiliti, Internship dan Kerjaya Universiti dan Pusat Pembangunan Perniagaan Universiti.
"Selain PTJ, diwujudkan juga jawatan baharu iaitu Penolong Naib Canselor khusus untuk membantu Naib Canselor dalam mencapai strategi utama universiti pada masa hadapan dan juga penjenamaan semula jawatan Pengarah Kampus Kesihatan dan Kejuruteraan sebagai Penolong Naib Canselor, Ketua Pegawai Pembangunan atau Chief Development Officer di samping penggabungan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat di bawah seorang pengarah serta Pengarah CAATS dan Doping menjadi Pengarah ABRC dan penggabungan pengurusan beberapa buah desasiswa," kata Naib Canselor yang turut menyerahkan surat tawaran dan kit pelantikan kepada ketua-ketua jabatan baharu.
Menurut Naib Canselor juga Rukun Nilai USM diperkenalkan melalui kerangka APEX 2020 yang menekan nilai-nilai murni yang diterapkan sebagai pengukuhan kepada 9 teras APEX sebelum ini kepada semua berasaskan kepada Qalbun Saleem, Amanah, Lisan, Bersih dan Ukhwah yang menjadikan QALBU seperti yang diterangkan oleh Pengarah Pejabat Transformasi Insan, Profesor Madya Dato' Ustaz Ellias Zakaria," tambah Naib Canselor.
"Saya berharap rukun nilai ini dibaca bersama rukun negara dan 9 teras APEX untuk bersama-sama mentransformasi universiti," kata Omar.
Yang turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Dato' Abdullah Wahab, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan lebih 100 ketua jabatan baharu dari kesemua kampus termasuk yang melalui telesidang.
Antara muka baharu yang dilantik ialah Penolong Naib Canselor (Kecemerlangan Institusi) Profesor Dr. Wan Ahmad Kamil Wan Mahmood, Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah yang juga masih memegang jawatan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah, Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia Profesor Madya Dr. Afidah Abdul Rahim, Dekan Pusat Pengajian Sains Matematik Profesor Dr. Hailiza Kamarulhaili, Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Profesor Dr. Azlan Amran, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Profesor Dr. Hairul Nizam Ismail, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Profesor Madya Dr. Azlinda Azman dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Profesor Madya Dr. Narimah Samat.
Di Kampus Kejuruteraan, muka baharu yang dilantik sebagai Dekan ialah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Profesor Dr Mohd Rizal Arshad, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Profesor Dr. Zuhailawati Hussain dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin.
Manakala Dekan Pusat Pengajian Siswazah baharu ialah Profesor Dr Rozman Hj. Din yang sebelum ini adalah Pengarah Bahagian Pembangunan Institusi. Tempatnya diambil alih oleh Profesor Dr. Phua Kia Kien. Institut Perubatan dan Pergigian Termaju pula kini diterajui Pengarahnya Dr. Norehan Mokhtar. Institut Penyelidikan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR) akan terajui pengarah baharu Profesor Dr. Zainuriah Hassan manakala Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) akan diterajui Pengarah Profesor Dr. Wan Mohd Fauzi Wan Ismail. Pusat Kajian Samudera dan Pantai akan diterajui Pengarah Profesor Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman. Manakala pusat baharu ABRC akan diterajui oleh Profesor Madya Dr. Zafarina Zainuddin.
Satu lagi pusat baharu ialah Pusat Pemindahan Ilmu yang diterajui oleh Profesor Dr. Haslan Abu Hassan yang dahulunya Pengarah Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE). Tempatnya diambil alih oleh Profesor Madya Dr. Mohd. Wira Mohd. Shafie.
Satu lagi pusat baharu ialah Pusat Inkubasi Universiti yang diterajui oleh Pengarah Profesor Dr. Siti Azizah Mohd Nor. Pusat Standardisasi Herba pula diketuai oleh Pengarah Profesor Madya Dr. Sabariah Ismail manakala Pusat Penyelidikan Sains & Kejuruteraan akan diketuai Pengarah Profesor Dr. Zainal Ariffin Md. Ishak yang sebelum ini adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan.
Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) Profesor Lee Keat Teong kini turut dilantik sebagai Pengarah Pusat Kolaborasi Antarabangsa yang dijenamakan semula dari Pejabat Antarabangsa USM. Syed Yusof Syed Kechik pula dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kolaborasi Masyarakat dan Industri.
Pusat Pembangunanan Perniagaan Universiti pula diterajui oleh Pengarahnya Profesor Datuk Dr. Abdul Khalil H.P Shawkataly.
Di Kampus Induk, beberapa pengurusan desasiswa turut digabungkan iaitu Desasiswa Aman Damai dan Fajar Harapan dengan penggawanya Nazru Hj. Ismail dan Desasiswa Bakti Permai dan Cahaya Gemilang dengan penggawanya Mohd Shafie Ariffin.
- Created on .
- Hits: 3153