IIUM, USM TERAJUI PENYELIDIKAN DAN PERKHIDMATAN SYARIAH HALAL DUNIA
oleh: Mohamad Abdullah
Foto: Zamani Abdul Rahim
PULAU PINANG, 20 Disember 2015 - International Islamic University Malaysia (IIUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menerajui penyelidikan dan perkhidmatan yang melibatkan pematuhan syariah dan pengesahan halal dunia dengan disokong oleh universiti-universiti awam lain pada masa hadapan.
Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman berkata persefahaman ini akan menggabungkan kepakaran IIUM dan USM untuk dikembangkan nanti dalam jaringan institusi pendidikan tinggi Pertubuhan Islam Sedunia (OIC) serta negara-negara yang memerlukan pematuhan kepada syariah.
"Kita juga sedang memastikan untuk membawa kepakaran dari universiti awam lain di negara ini untuk bergabung kepakaran dalam memenuhi hasrat ini untuk dikembangkan dalam kalangan negara ASEAN dan negara-negara lain," kata Omar.
Tambahnya lagi, usaha ini adalah sebagai satu langkah universiti awam mewujudkan Global Halal Standard and Reference Centre di negara ini untuk dimanfaatkan dengan sewajarnya.
Rektor IIUM Profesor Dato' Sri Dr. Zaleha Kamaruddin berkata, universiti tersebut ingin memastikan dapat bersama-sama universiti awam lain menerajui usaha ini sesuai dengan kepakaran yang ada dan sebagai permulaan dengan USM yang mempunyai kekuatan kepakaran dalam bidang yang berkaitan.
"Saya pasti selain IIUM dan USM, banyak lagi universiti awam lain yang boleh berkongsi bagi mengukuhkan usaha ini di peringkat global," kata Zaleha.
Omar dan Zaleha menandatangani dokumen persefahaman yang turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Profesor Dato' Dr. Asma Hj. Ismail; Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor (JKNC/R) Universiti Awam Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin serta 18 orang Naib Canselor yang berada di Pulau Pinang untuk menghadiri mesyuarat JKNC/R di sini.
Dalam ucapannya, Asma turut mengalu-alukan penandatanganan MoU tersebut yang disifatkannya sebagai sangat sesuai dengan masa dan penting kepada universiti negara ini dalam menggabungkan kekuatan bersama.
"Dengan cara ini, universiti-universiti kita dapat bergabung bukan sahaja dalam konteks kekuatan kepakaran malah juga untuk berusaha mendapatkan geran-geran besar dari dana antarabangsa dalam keadaan sekarang yang memerlukan kita keluar dari pergantungan hanya kepada dana dalaman," tegas Asma.
Manakala Kamarudin pula menjelaskan penandatangan MoU ini menjadi satu usaha dan tradisi baharu dalam mesyuarat JKNC/R yang diterajuinya untuk mewujudkan kesatuan usaha dalam kalangan universiti-universiti awam di negara ini menjayakan aspirasi negara dan dunia.
"JKNC/R mendorong sebanyak mungkin usaha kolaborasi bersama dalam kalangan universiti awam bagi memastikan usaha ini berupaya memperkasakan pendidikan tinggi negara mahu pun kerjasama di pelbagai negara yang universiti-universiti kita mempunyai jaringan kerjasama termasuk OIC," katanya lagi.
Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan dan Pengarah Komunikasi Korporat dan Pemasaran IIUM Profesor Dr. Ainul Juria Maidin.
- Created on .
- Hits: 1126