USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENERBIT USM BAWA KARYA BERMUTU TINGGI KE PERSADA ANTARABANGSA

 DSC2014

PULAU PINANG, 18 Disember 2015 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengorak langkah dengan menjalinkan kerjasama dengan portal-portal atas talian dalam memasarkan karya hasil penulisan pensyarah dan warga USM melalui buku elektronik ke persada antarabangsa.

“Penerbit USM perlu bergabung dengan pelbagai agensi termasuk untuk berkarya yang mana bukan sahaja untuk pasaran di dalam negara tetapi juga di persada ASEAN dan antarabangsa supaya memberikan impak yang besar kepada masyarakat luar,” kata Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika merasmikan acara tahunan Penerbit USM, Majlis Pelancaran Buku Penerbit USM dengan tema Sanjungan Karya.

“Di USM sahaja banyak lagi khazanah yang belum diterokai dalam bentuk penulisan, dan diharap Penerbit USM akan bekerjasama juga dengan Pusat Tanggungjawab di USM untuk mula dan terus mengkaji segala ilmu yang ada di sekeliling kita,” tambah Omar dengan memberikan contoh mengenai artifak yang ada di dalam Muzium Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), USM.

“Proses penerbitan karya-karya bemutu tinggi haruslah melibatkan tiga elemen penting iaitu mempunyai nilai dalam pemasaran, kesarjanaan dan ilmu dengan DNA awal serta pemindahan ilmu untuk dijadikan bahan karya terutamanya dalam bentuk buku untuk dipasarkan seluas mungkin,” kata Naib Canselor.

 DSC2110

Penerbit USM yang bakal melancarkan Pelan Transformasi 2016-2018 diharap dapat mengambil kira hala tuju organisasi tersebut selari dengan halatuju USM di samping dapat menyumbang sejumlah pendapatan keuntungan pemasaran kepada USM.

“Penerbit USM kini ini adalah peneraju penerbitan elektronik dalam kalangan penerbit ilmiah di Malaysia dan menjadi tempat rujukan kepada rakan Penerbit Institut Pengajian Tinggi,” kata Pengarah Penerbit USM, Akhiar Salleh.

“Tiga jurnal telah dipilih sebagai penerima Jurnal Taraf CREAM oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan empat jurnal yang terdapat dalam pangkalan data Scopus telah disenarai dalam pangkalan data baru Emerging Sources Citation Index (Thomson Reuters),” tambah Akhiar menerangkan lagi kejayaan-kejayaan Penerbit USM selain penandatanganan lapan perjanjian dengan rakan strategik antarabangsa dalam pemasaran buku elektronik termasuk PT Buqu Global dan Ingram Content Group.

Sejumlah 34 judul karya yang dihasilkan oleh 56 pengarang dan editor buku pada tahun 2015 dilancarkan pada majlis kali berbanding 27 buah pada tahun lepas dan jumlah ini semakin meningkat sekaligus dapat menambah khazanah ilmu yang memberi manfaat kepada pembacanya.

Untuk rekod, Penerbit USM bermula pada tahun 1972 dengan tertubuhnya unit di bawah Jabatan Perpustakaan namun pada tahun 2002, Penerbit USM telah dinaik taraf menjadi Pusat Tanggungjawab.

 DSC2264ghk

Buku pertama terbitan Penerbit USM adalah Sesayup Jalan karya Zurinah Hassan diterbitkan pada tahun 1974 dan sehingga kini, Penerbit USM telah berjaya menerbitkan lebih 1,200 judul penerbitan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti, Profesor Dato’ Dr Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey serta pengarang dan editor buku yang dilancarkan.

Teks: Mohamad Abdullah dan Nor Rafizah Md Zain

Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1055

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024