PENYAKIT KANSER DAPAT DIRAWAT
Teks/Foto: Abdul Aziz Latif
KOTA BHARU, 17 Disember 2015 – Kanser atau barah merupakan penyakit yang digeruni oleh semua lapisan masyarakat. Lebih mendukacitakan kebanyakan pesakit kanser, kebiasaannya tertekan bagi mencari rawatan yang terbaik sama ada secara moden di pusat kesihatan atau secara rawatan alternatif.
Kanser merupakan sel-sel atau organ badan sendiri yang mana selnya melalui proses mutasi. Ianya berlaku apabila banyak kerosakan sel di dalam badan akibat bahan kimia atau racun daripada rokok, asap, makanan dan sebagainya.
Pegawai Perubatan Kanan Onkologi Klinikal Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Mohd Nazri Wan Zainon menyarankan supaya pengidap kanser tidak melengahkan masa untuk mendapatkan rawatan segera, ini kerana sekiranya rawatan awal tidak dilakukan dengan baik, kemungkinan besar kanser akan merebak dan peluang untuk sembuh sepenuhnya semakin tipis.
“Rawatan moden kini semakin berkembang luas dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian rawatan seperti melalui pembedahan, radioterapi, kemoterapi, target terapi (terapi biologikal), hormon terapi dan komplimentari terapi dan mereka boleh berbincang dengan doktor untuk memilih kaedah yang bersesuaian.
“Kanser sel boleh merebak melalui tiga cara iaitu menyerang sel-sel jiran (setempat), melalui saluran darah dan saluran limpa,” katanya.
Tambah beliau lagi, biasanya pesakit kanser dapat dikesan dengan dua cara iaitu melalui mengambil tisu badan pesakit (biopsi) atau penyiasatan imbasan (CT scan).
Rawatan kanser terbahagi kepada tahap satu hingga tahap empat, biasanya proses rawatan pesakit akan dibincang terlebih dahulu bersama doktor kerana banyak faktor perlu diambil kira seperti jenis kanser, umur pesakit, jantina, tahap kanser dan kecergasan pesakit serta cara rawatan yang akan diberikan.
Rawatan kanser terbahagi kepada dua iaitu rawatan definitive (untuk penyembuhan) dan rawatan meringankan beban pesakit (palliatif), cara terbaik bagi merawat kanser melalui pembedahan terutamanya pada peringkat awal. Peluang kesembuhan amat tinggi kerana stastik pembedahan mencatatkan hampir 80% hingga 90% berjaya.
Walaupun pembedahan adalah cara terbaik, namun ada juga kanser yang tidak boleh dilakukan dengan kaedah ini, contohnya seperti kanser pangkal hidung, pangkal rahim peringkat tinggi, dan kanser kelenjar/darah (lymphoma/leukemia) atau kanser yang terletak dekat atau terlekat dengan organ yang sensitif seperti pembuluh darah, saraf tunjang organ kritikal dan sebagainya yang mana lebih sesuai melalui kaedah kemoterapi atau radioterapi.
Kaedah kemoterapi atau radioterapi ini bertindak menyekat pembiakan dan membunuh sel-sel kanser dan pada peringkat awalnya rawatan bahagian kanser mengecil dan keadaan semakin baik untuk pulih. Pada masa ini kaedah membuang kanser terutamanya untuk kanser payudara amat sesuai termasuk juga kanser-kanser yang hampir sama dengannya untuk dibuang tapak berpusatnya kanser.
Walau bagaimanapun beliau menasihatkan kepada semua yang mengidap penyakit kanser supaya bertindak awal untuk menjalani rawatan sebagaimana yang dirancang dan disarankan oleh doktor ketika mengulas dalam rancangan Doktor Di Radio pagi tadi.
- Created on .
- Hits: 5113