USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BELIA GOLONGAN TERTINGGI TERLIBAT DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH DAN HIV/AIDS DI MALAYSIA

 DSC1719gh

PULAU PINANG, 17 November 2015 – Secara umumnya, kes-kes penyalahgunaan dadah dan HIV/AIDS merekodkan 30% hingga 50% dalam kalangan golongan belia berumur 13 tahun hingga 29 tahun terjebak dengannya dan daripada jumlah ini, hampir 90% adalah dari kalangan lelaki.

Demikian statistik yang diberikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit AIDS/STD Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Janizah Abd Ghani di dalam Forum Dadah Dan HIV/AIDS sempena Simposium Dadah Dan HIV/AIDS bersempena Hari AIDS Sedunia 2015 yang berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Janizah berkata, gejala HIV/AIDS pada tahun sebelumnya merekodkan sebanyak hampir 75% adalah disebabkan oleh hubungan seksual manakala 23% pula adalah disebabkan oleh perkongsian jarum suntikan yang makin kurang popular digunakan zaman sekarang.

“Sempena dengan Sambutan AIDS Sedunia pada kali ini, saya menyeru semua untuk melakukan ujian saringan HIV/AIDS dan jangan ambil mudah akan ujian saringan ini," tegasnya.

 DSC1684yyj

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Ahmad Nazir Long pula menjelaskan terdapat dua golongan belia yang terdedah dengan gejala ini iaitu belia berisiko dan juga belia bakal berisiko yang menunjukkan perubahan tingkahlaku seperti ponteng sekolah, buli, merokok dan lain-lain lagi yang boleh terjerumus kepada dadah dan HIV/AIDS.

“Bagi mengatasi gejala ini, Pendidikan Pencegahan perlu diberikan kepada mereka untuk mengatasi penularannya dan antara strategi AADK adalah dengan mengurangkan bekalan dan juga mengurangkan permintaan ke atas dadah dalam jangka panjang yang perlu juga melibatkan institusi dan organisasi bersama-sama komuniti untuk turun padang dan membantu menangani gejala ini dari akar umbi,” tekannya.

Ahmad Nazir juga menambah, antara khidmat pemulihan dan rawatan yang diberikan adalah seperti pemulihan berinstitusi, penguasaan daerah melalui bantuan komuniti dan PDRM serta program-program yang ditekankan adalah melalui pengurusan tingkahlaku, psikologi dan emosi, intelektual dan spiritual, vokasional, penguatkuasaan undang-undang, pemantauan kepatuhan dan hubungan antarabangsa.

Mengulas lanjut, Ahmad Nazir juga memberitahu, gaya keibubapaan dalam mendidik anak-anak juga perlu diperhalusi dengan mendalam kerana ini adalah antara punca utama yang boleh menyebabkan perkara yang lebih serius seperti penyalahgunaan dadah ini berlaku justeru masyarakat yang sejahtera dan harmoni tidak dapat dibentuk.

Bagi Pengurus Program Penang Health Development Association, Christine Low Bee Cheng pula, penyalahgunaan dadah adalah hanya salah satu daripada faktor-faktor yang menyebabkan gejala ini terjadi dan seterusnya beransur kepada HIV/AIDS.

 DSC1816fh

Jelasnya, golongan belia zaman sekarang lebih terdedah dengan kemajuan teknologi seperti internet yang dapat memuat turun aplikasi dan menonton bahan-bahan berunsur lucah dan seks yang boleh mempengaruhi mereka untuk ke lembah dadah dan juga seks menyebabkan HIV/AIDS.

“Perasaan ingin mencuba dan ingin tahu yang membuak-buak oleh golongan belia zaman sekarang amatlah membimbangkan mengenai perkara ini kerana mereka inilah yang akan menjadi pemimpin dan tonggak negara pada masa akan datang, dan perkara seperti ini tidak sepatutnya terjadi di tanahair tercinta ini,” tegasnya lagi.

Pengurus Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP), Ipoh Perak, AARG USM, Haryati Jonet yang menceritakan pengalamannya berkaitan penyalahgunaan dadah pula telah memukau seluruh dewan dengan menceritakan pengalamannya kerana setelah menagih dadah selama hampir 20 tahun, akhirnya berjaya untuk berhenti menagih dan menjalani hidup seperti insan biasa.

Haryati berhenti atas sebab sudah letih dan penat untuk saban hari mengambil bahan tersebut dan akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti, dan nasihatnya lagi, setiap individu berbeza dan mempunyai perwatakan yang tidak serupa dalam menangani gejala ini.

“Saya bersyukur kerana berjaya untuk berhenti dan ini juga atas dorongan dan sokongan daripada ahli keluarga yang dapat menerima saya walaupun bekas penagih, dan sekarang ini mengambil inisiatif untuk turun dan bertemu rakan-rakan yang masih menagih dan memberi mereka sokongan, informasi serta program-program pemulihan walaupun bagi penagih ini, keinginan untuk berhenti menagih amat tinggi akan tetapi sukar untuk melaksanakannya,” ulas lanjutnya.

Moderator forum ini adalah Dr. Paramjit Singh Jamir Singh dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Zamani Abd Rahim

  • Created on .
  • Hits: 2702

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024