USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USAHA MELESTARI KESENIAN ISLAM

PULAU PINANG, 17 Disember 2015 - Usaha-usaha untuk melestarikan kesenian Islam yang telah lama berkembang dalam masyarakat perlu dilakukan dengan serius dalam membentuk jati diri bangsa.

Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya komited untuk membawa usaha ini secara ilmiah termasuk melalui penerbitan.

Dekannya Profesor Madya Dr. Hajar Abdul Rahim berkata, pihaknya akan meneruskan usaha ini yang perlu dimajukan di peringkat antarabangsa.

Berucap merasmikan Bicara Hadrah & Seni Puisi Islam di sini, Hajar berkata persembahan seni warisan tempatan seperti hadrah dan maulud jawi perlu dipertahankan malah dilestarikan untuk generasi yang akan datang.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar yang juga pengerusi acara ini dalam ucap utamanya berkata, seni kesenian Islam seperti Maulud Rawi dan hadrah sememangnya menjadi sebahagian dari warisan Pulau Pinang.

"Maulud Rawi yang menjadi budaya yang dilagukan oleh wanita di Seberang Prai misalnya dilakukan semasa menyambut Maulidur Rasul yang mengetengahkan semangat cintakan Rasulullah SAW yang semakin hilang," kata Md. Salleh.

Antara pembentang ialah para pakar kesusasteraan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan seperti Dr. Mohamad Luthfi Abdul Rahman, Profesor Dr. Jelani Harun, Profesor Madya Dr. Rahimah A. Hamid dan Profesor Dr. Sohaimi Abdul Aziz.

Turut dibincangkan ialah bagaimana kesenian-kesenian warisan Islam ini dapat dilestarikan dan diberikan nilai komersil dalam bentuknya yang asli dan melihat kepada pensejarahannya sebagai tarikan untuk pelancong dan usaha-usaha lain termasuk keprihatinan oleh pihak berkuasa dalam hal kesenian dan kebudayaan dalam usaha memaju dan mengekalkannya dalam jangka panjang.

Kira-kira 100 orang peserta turut disajikan dengan persembahan berzanji oleh kumpulan dari USM serta persembahan hadrah oleh kumpulan yang dibawa khas dari negeri Perlis yang masih mempertahankan seni persembahan ini.

  • Created on .
  • Hits: 759

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024