SEMANGAT DAN KECEKALAN DIRI KEKUATAN UNTUK BERUBAH - HARYATI
PULAU PINANG, 17 Disember 2015 - Perasaan ingin mencuba sesuatu yang baru akhirnya membawa padah apabila dia mula bergelumang dengan najis dadah ini sejak berumur 15 tahun lagi.
Bagi bekas penagih, Haryati Jonet, 40, berkata, pada usia yang baru meningkat naik ketika itu, melihat kawan-kawan seronok mencuba sesuatu yang baru, dia juga ingin mempunyai perasaan yang sama. Bermula dengan rokok, akhirnya mencuba ganja, heroin dan pelbagai jenis dadah yang lain.
“20 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat bagi saya mengenal semua jenis dadah. Saya keluar masuk penjara dan pusat pemulihan dadah empat kali. Terakhir saya ditangkap dan masuk ke Pusat Pemulihan selama 16 bulan sebelum bertekad untuk berhenti,” katanya.
Sudah lima tahun Haryati meninggalkan najis dadah ini dan azam dan kekuatan yang ada dalam diri sendiri menyebabkannya ingin berenti terus dari najis dadah ini.
“Saya bernasib baik apabila berjaya mengubah hidup dan menjauhkan diri daripada dadah. Pelbagai cara yang saya gunakan dan yang penting saya sudah letih apabila setiap pagi saya perlu memikirkan untuk mencari duit untuk menghisap dadah. Akhirnya saya kuatkan diri untuk tidak terjerumus lagi dalam kancah dadah ini,” jelasnya.
Haryati yang berasal dari Selangor ini turut menyatakan keluarganya yang tidak pernah jemu memberi semangat untuk dirinya berhenti dari menagih dadah walaupun telah banyak kali dia mengecewakan mereka dengan kembali menagih dadah setelah keluar dari pusat pemulihan.
“Walaupun saya di penjara, arwah ibu sentiasa datang melawat dan memberi semangat kepada saya berhenti daripada bergelumang dengan najis dadah,” tambahnya yang kini berkhidmat sebagai Pengurus Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP), AIDS Action and Research Group (AARG) Universiti Sains Malaysia (USM) di Ipoh, Perak.
Kini, walaupun masih belum layak bergelar kaunselor, Haryati sering turun padang dan berkongsi kisah hidupnya bersama penagih dadah.
“Apa yang penting kita perlu sentiasa memberi sokongan kepada mereka, bukannya mengetepikan terus. Apabila sokongan ada, barulah kita mampu menasihatkan mereka untuk berubah. Ada dalam kalangan mereka ini sudah berubah dan menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” katanya.
Haryati ditemui ketika Simposium ‘Dadah dan HIV/ AIDS’ bersempena Sambutan Hari AIDS Sedunia 2015 anjuran AARG USM di sini, hari ini.
Teks: Syuhada Abd. Aziz
Foto: Zamani Abd Rahim
- Created on .
- Hits: 867