USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AARG USM BANTU MASYARAKAT TINGKAT KESEDARAN TENTANG HIV/AIDS

DSC02993

PULAU PINANG, 17 Disember 2015 – Bersempena sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut setiap 1 Disember setiap tahun, AIDS Action & Research Group (AARG), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Simposium ‘Dadah dan HIV/AIDS’ yang bertujuan memberi manfaat kepada semua pihak untuk memahami dengan lebih mendalam tentang isu, permasalahan, rawatan dan pencegahan berkaitan HIV/AIDS dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Dekan (Penyelidikan) PPSK USM, Profesor Madya Dr. Intan Hashimah Mohd Hashim berkata, USM turut memainkan peranan menerusi program pemindahan ilmu dengan memperkasakan serta meningkatkan kesedaran golongan yang berisiko tinggi khususnya remaja dan belia tentang bahaya dadah.

“Keperluan peningkatan kesedaran, pengetahuan, sokongan serta tanggungjawab dalam menangani wabak HIV dan AIDS terhadap rakyat Malaysia wajar diberi perhatian selaras dengan hasrat kerajaan bagi mengakhiri AIDS pada tahun 2030,” katanya.

Tambah Intan Hashimah lagi, AARG USM telah memainkan peranan penting dalam membantu pelbagai golongan masyarakat agar dapat mengamalkan gaya hidup sihat serta menjauhkan diri daripada melakukan tingkah laku yang berisiko tinggi yang akan menyebabkan penularan wabak HIV dan AIDS.

“AARG USM sentiasa peka dan prihatin dengan isu-isu yang berkaitan dengan HIV dan AIDS yang melanda masyarakat negara ini. Oleh itu, diharap simposium yang diadakan pada hari ini dapat memberi kesedaran, maklumat dan pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya ketika memberi ucapan perasmian sempena Simposium Dadah dan HIV/AIDS.

Yang hadir sama dalam majlis ini ialah Timbalan Konvenor AARG USM, Profesor Madya Dr P. Sundramoorthy.

DSC02988

Sementara itu, Konvenor AARG USM, Profesor Madya Dr. Azlinda Azman berkata, AARG USM sejak sekian lama memainkan peranan menyumbang kepada penyelidikan dan perkhidmatan berkaitan HIV dan juga AIDS di negara ini.

AARG USM ditubuhkan pada 1994 dan memberi maklumat kepada orang ramai mengenai wabak berkenaan. Kumpulan ini juga menyediakan program-program dan latihan kepada masyarakat berhubung isu HIV dan AIDS.

“Ahli-ahli AARG terdiri daripada kakitangan akademik dan juga bukan akademik yang mempunyai pengalaman dalam bidang kerja sosial, sosiologi, kesihatan awam, kaunseling dan undang-undang selain turut bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dalam memerangi dan memberi pendidikan kepada masyarakat tentang bahaya dadah,” tambah Azlinda.

Menurut Azlinda lagi, melalui penyelidikan, pembelajaran dan latihan serta aktiviti tindakan sosial, kumpulan ini memberi sumbangan kepada usaha kerajaan dalam mengawal masalah HIV dan AIDS di Malaysia.

Simposium yang diadakan pada hari ini juga diisi dengan slot Forum Dadah Dan HIV/AIDS yang membincangkan tentang isu dadah dalam kalangan belia dan remaja di negara ini bersama-sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit AIDS/STD Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Janizah Abd Ghani; Pengarah Kanan Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang, Ahmad Nazir Long; Pengurus Program Penang Health Development Association, Christine Low Bee Cheng dan juga Pengurus Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP), AARG USM, Haryati Jonet serta Moderator bagi Forum ini iaitu Dr. Paramjit Singh Jamir Singh dari PPSK USM.

  • Created on .
  • Hits: 1245

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024