PARLIMEN MAHASISWA DIANGKAT KE PERINGKAT ASEAN
oleh: Nor Rafizah Md. Zain
Foto: Zamani Abd. Rahim
PULAU PINANG, 17 Disember 2015 – Penubuhan Dewan Perundingan Pelajar Universiti Sains Malaysia (DPP USM) membawa kepada tertubuhnya Parlimen Belia dan rentetan daripada itu Parlimen Mahasiswa Malaysia.
“Kini, USM melalui Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) akan mengetuai satu lagi projek yang akan menggabungkan pemimpin mahasiswa di peringkat ASEAN dan didoakan projek tersebut dapat direalisasikan pada Julai 2016,” demikian kata Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), USM Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein ketika merasmikan Majlis Perasmian DPP Sidang Akademik 2015/2016 di sini hari ini.
“Peningkatan ahli DPP USM daripada 58 orang pada sidang 2010/2011 kepada 68 orang pada sidang ini menunjukkan bahawa DPP ditambahbaik dari tahun ke tahun dan memantapkan lagi fungsinya.
“Suara pelajar USM juga diiktiraf dengan melantik wakil MPP ini untuk menganggotai dua majlis USM yang melibatkan pelajar iaitu Majlis Keselamatan dan juga Majlis Kebajikan Pelajar yang mana tidak dilaksanakan di universiti lain,” tambah Adnan.
“Pada sidang kali ini terdapat 23 usul yang diterima oleh Jawatankuasa Khas Usul dan hanya 15 usul sahaja yang diterima untuk dibahaskan.
“Sepanjang enam tahun penubuhan DPP, sebanyak 162 usul telah dibahaskan, 132 diterima dan 30 ditolak meliputi pelbagai isu meliputi kebajikan pelajar, ekonomi, sosial dan politik,” tambah Adnan kepada lebih 100 orang pelajar terdiri daripada ahli DPP dan juga pemerhati termasuk juga Majlis Pewakilan Pelajar (MPP) daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
“Tujuan kami hadir sebagai pemerhati hari ini adalah untuk membawa DPP ke USIM yang akan mula dilaksanakan pada semester akan datang,” kata Naib Yang Dipertua 1 MPP USIM, Muhammad Irfan Mohd Jaleel yang juga berasa sangat teruja dengan DPP USM yang dilaksanakan mirip seperti Parlimen Malaysia.
Wakil tunggal MPP Kampus USM-KLE, Belgaum India buat pertama kalinya menyertai DPP dan hari ini akan membahaskan dua usul iaitu mengenai ‘Pelantikan Pegawai BHEPA Khusus Bagi Mahasiswa di USM-KLE’ dan juga ‘Permohonan Pengurangan Bayaran Yuran Perpustakaan dan Pengangkutan”.
Pelajar tahun tiga Ijazah Doktor Perubatan, Luqman Hafizuddin Abdul Hadi berkata peranan MPP di sana adalah sangat penting untuk menjadi perantara di antara pelajar USM-KLE dengan pengurusan di Kampus Induk dan juga Kampus Kesihatan, Kubang Kerian.
“Saya bersyukur terpilih sebagai wakil tunggal MPP di sana dan berharap dapat membantu pelajar memudahkan kehidupan mereka di perantauan,” kata Luqman Hafizuddin yang juga ahli MPP pertama dilantik bagi Kampus USM-KLE, India setelah lebih enam tahun beroperasi di sana.
DPP adalah salah satu inisiatif yang diambil oleh USM untuk membantu anak-anak muda dalam kalangan mahasiswa untuk lebih agresif dalam menyatakan pandangan, pendapat dan idea mereka.
Pada majlis yang sama, Adnan turut menyarungkan jubah kepada Speaker, Timbalan Speaker dan juga Setiausaha Kehormat DPP yang dilantik secara undian oleh ahli DPP masing-masing kepada Haja Mydin Abd Khuthoos, Siti Zurianah Ismail dan Noor Syafira Zainal Abidin.
- Created on .
- Hits: 4092