USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANAK PENIAGA SARUNG KAKI GENGGAM ANUGERAH UEM 2015

UEM 2013

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2015 – Kekurangan dan kesederhanaan hidup tidak menjadi penghalang kepada anak seorang peniaga sarung kaki untuk cemerlang dalam pengajian sekaligus melayakkannya dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM 2015 dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di The Odyssey, Mercu UEM, KL Sentral di sini baru-baru ini.

Menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bahan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78, Chuah Wei Hoong, 24, siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil.

Berbekalkan projek tahun akhir bertajuk Investigation On Hydrophobic Coating For Better Functionality and Durability dengan objektif untuk membentuk persekitaran lapisan hidrofobik mesra dengan pelbagai fungsi seperti pembersihan diri, ketelusan yang baik dan ketahanan jangka panjang telah membawa tuah kepada Chuah pada tahun ini.

EUM 2046

Menurut anak jati Pulau Pinang itu, beliau bersyukur dan amat berterima kasih kepada pihak USM terutamanya kepada pengerusi rancangan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar dan penyelia projek, Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan yang banyak memberi tunjuk ajar dan dorongan serta memberi peluang kepadanya mewakili pusat pengajian seterusnya bersaing dengan calon lain.

“Saya tidak menyangka bahawa saya merupakan penerima anugerah ini kerana peserta-peserta lain juga tidak kurang hebatnya,” kata Chuah yang merupakan anak kedua daripada dua beradik itu.

“Ini merupakan satu kenangan dan pencapaian yang sangat membanggakan bagi saya dan keluarga sebelum menamatkan pengajian selama empat tahun di USM,” katanya.

Tambahnya, sejak kecil, dia melihat ibu bapa bekerja keras untuk menyara keluarga membuatkannya sentiasa berdikari dalam pelajaran dan apa jua bidang yang diceburi agar mereka tidak perlu bimbang mengenai kerjaya dan kehidupannya kelak.

“Saya yakin sekiranya kita rajin belajar dan berusaha bersungguh-sungguh pasti kejayaan menjelma jua seterusnya dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada kita,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai resepi kejayaan, Chuah yang kini bertugas sebagai jurutera proses di Keysight Technologies Malaysia Sdn. Bhd., Pulau Pinang berkata, berani mencuba dan sekiranya inginkan sesuatu, kita pasti akan beroleh kejayaan dan mendapat hasilnya, asalkan kita mempunyai azam yang kuat dan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Jelas cahaya mata kepada pasangan Chuah Hoot Sew, 63, dan Yeoh Saw Kin, 56, beliau ingin menimba pengalaman terlebih dahulu sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana.

UEM 1962

Sementara itu, Srimala turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Chuah yang sekaligus turut mengharumkan nama USM.

“Saya sentiasa menggalakkan pelajar saya untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar dan bukan hanya menumpukan kepada pelajaran sahaja,“ ujar Srimala yang juga merupakan penyelia projek tahun akhir pelajar cemerlang itu.

“Bagi saya, penglibatan mereka dengan program dan ativiti luar dapat membantu mereka mengenali erti kehidupan dan menjalinkan hubungan baik dengan masyarakat seterusnya merupakan persediaan ke arah mencapai kejayaan,” ujarnya.

Menurut Srimala yang juga merupakan salah seorang penerima anugerah Top Research Scientist Malaysia (TRSM) baru-baru ini, setiap mahasiswa diharapkan dapat menyumbang idea dan melakukan sesuatu yang boleh memberi faedah kepada komuniti.

UEM 1952

Timbalan Dekan (Akademik), Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim turut bersetuju dengan Srimala dan menyeru supaya pensyarah lain juga mengambil peluang seperti ini dengan menawarkan projek-projek yang berkaitan dengan penaja.

“Pusat Pengajian amat berbangga dengan pencapaian ini dan semoga ia berterusan untuk bidang-bidang yang lain juga,” kata Syed Fuad yang hadir mewakili Dekan.

Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi UEM, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

UEM 2036

Hadir sama meraikan kejayaan itu ialah Pengarah Urusan Kumpulan, UEM Group Bhd,Dato’ Izzaddin Idris; Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak dan wakil-wakil dari universiti terlibat.

Teks & Foto: Mohd Kamil Ashar

  • Created on .
  • Hits: 1086

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024