USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PHUSMPI KE-42 BUKTI KEMAMPUAN MAHASISWA USM ANJUR KEJOHANAN SUKAN PERINGKAT ANTARABANGSA

PULAU PINANG, 14 Disember 2015 – Pesta Hoki USM-Penang International (PHUSMPI) edisi ke-42 yang melabuh tirai petang kelmarin sekali lagi membuktikan kemampuan sukarelawan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa sebesar ini jika diberi kepercayaan, sokongan dan bimbingan yang sewajarnya dari pihak Universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, dalam ucapannya berkata, USM sentiasa memberikan pengupayaan kepada mahasiswanya untuk melibatkan diri dalam mengelolakan aktiviti-aktiviti kampus dengan sepenuh kebebasan.

Katanya, mahasiswa perlu diberi peluang melakukan apa jua aktiviti yang bermanfaat dengan kreativiti masing-masing dalam usaha universiti melahirkan graduan cemerlang yang holistik sekaligus menyediakan mereka menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa hadapan.

“Pesta hoki adalah antara hasil komitmen dan kesungguhan jitu yang ditunjukkan oleh mahasiswa USM, sehingga jenama kejohanan ini dikembangkan dan dikenali bukan sahaja di rantau ini malah di peringkat antarabangsa,” kata Naib Canselor di majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Stadium Olahraga USM.

Tambahnya lagi, kejohanan kali ini turut mendapat penyertaan dari lima negara lain iaitu Sri Lanka, India, Pakistan, Chinese Taipei dan Indonesia yang telah menghantar 30 pasukan untuk mengambil bahagian dalam semua kategori yang dipertandingkan.

Naib Canselor melahirkan rasa bangga dan gembiranya kerana kejohanan ini bukan sahaja dapat bertahan walaupun sudah berusia 42 tahun malah ia semakin menyerlah dan mendapat tumpuan daripada pasukan-pasukan hoki dari dalam dan luar negara.

Beliau juga mencadangkan agar kejohanan ini dimuatkan dalam kalendar sukan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pelancongan Malaysia dan juga kalendar sukan negeri untuk tujuan menarik lebih ramai pelancong khususnya peminat hoki ke Pulau Pinang memandangkan kejohanan ini diadakan pada musim cuti sekolah dan hujung tahun.

Terdahulu telah berlangsung perlawanan akhir kategori Liga Perdana (Men’s Open Premier) yang menyaksikan pasukan Bagan Ajam Old Boys muncul juara apabila berjaya menumpaskan pasukan Magic Zone B dengan jaringan 1-0.

Kedua-dua pasukan tersebut yang dibarisi keseluruhannya oleh pemain kebangsaan atau bekas pemain kebangsaan mempamerkan aksi menarik dalam perlawanan akhir itu yang turut disaksikan oleh Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM Tuan Haji Muhamad Mohd Hanif, Pengurus Pemasaran Sukan, Unit Bisnes Minuman Nestle Product Sdn. Bhd. Ng Ping Loong, Pengerusi PHUSMPI ke-42 Shanmugam a/l Panisilon serta pegawai-pegawai utama Universiti.

Pro Canselor USM telah menyampaikan hadiah kepada kedua-dua pasukan, di mana sebagai johan, Bagan Ajam Old Boys membawa pulang Piala Pusingan Sultan Azlan Shah, wang tunai RM2,000, pingat dan hamper barangan tajaan Nestle, manakala naib johan Magic Zone B menerima hadiah wang tunai RM1,400, pingat dan hamper tajaan Nestle.

Kejohanan Pesta Hoki edisi tahun ini yang berlangsung selama 4 hari mulai 10 Disember telah membawa bersama 342 pasukan dari dalam dan luar negara bermain dalam 556 perlawanan dalam 11 kategori yang dipertandingkan dan melibatkan seramai 150 sukarelawan mahasiswa sebagai ahli Jawatankuasa Pengelola Pesta Hoki.

PHUSMPI ini merupakan satu-satunya karnival hoki yang telah empat kali diiktiraf sebagai kejohanan hoki yang terbesar dan ‘The Longest Non-Stop Hockey Tournament’ di Malaysia dalam Malaysian Book of Records.

Teks: Tan Ewe Hoe

Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Ariffin @ Isa

  • Created on .
  • Hits: 642

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024