“P. RAMLEE PEMIKIR FILEM SEBENAR” – HASSAN MUTHALIB
PULAU PINANG, 16 Disember 2015 - Nama P. Ramlee sememangnya tidak asing lagi bagi kita semua. Kehadiran Seniman Agung ini dalam arena perfileman negara telah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam dunia seni, mahupun terhadap pembangunan masyarakat Malaysia. Sehingga ke hari ini, filem-filemnya masih menjadi tontonan dan rujukan umum.
Penganalisis filem, Hassan Muthalib, 70, berkata, P. Ramlee adalah seorang pemikir dan pemerhati, malah seorang yang berfikiran melangkaui masa depan.
“Dia ikhlas menghasilkan karya bukan semata-mata untuk mendapatkan duit, disebabkan itu karyanya bermutu dan kekal sehingga kini. Dia hasilkan filem melalui kisah masyarakat yang berlaku di sekelilingnya," jelasnya yang memberitahu bahawa P. Ramlee juga pandai mengambil hati penonton melalui karya-karyanya.
Tambah Hassan, selain filemnya menggelikan hati kita, P. Ramlee juga seorang budayawan yang berpandangan jauh merentasi zaman. Malah mampu secara kritis mengangkat pelbagai isu dalam masyarakatnya baik persoalan kebudayaan, ketidakadilan sosial mahupun agama dan moral.
Seringkali, karya-karyanya akan memberi peringatan akan kepincangan yang bakal menimpa masyarakat sekiranya sesuatu masalah tidak diatasi dengan segera atau jika masyarakat tidak melepaskan diri daripada takuk yang lama.
"P. Ramlee menghasilkan karya yang tidak ditelan zaman. Walaupun sudah 40 atau 50 tahun, nilai karyanya masih dihargai. Buktinya, adalah menerusi filem-filem dan lagu-lagu ciptaannya yang masih ditonton dan didengar tanpa rasa jemu sehingga kini," kata anak jati Pulau Pinang ini lagi.
Hal ini kerana segala apa yang ditonjolkan dalam karyanya bukan sahaja relevan sepanjang zaman tetapi juga sarat dengan nilai dan kritikan sosial yang tajam.
“Menghasilkan sesebuah filem bagi P. Ramlee bukan sekadar alat hiburan, tetapi turut menjadi alat untuk mendidik dan membuka minda masyarakat,” kata Hassan yang juga pengkritik filem yang telah menghasilkan animasi cereka pertama di Malaysia iaitu Sang Kancil dan Silat Lagenda.
Dalam kepelbagaian tema yang dibawa oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya, banyak tema diketengahkan untuk mendidik penonton melalui filemnya seperti tema keagamaan, kejujuran, dan bersatu.
“Kaedah pengupasan cerita oleh P. Ramlee ini tidak mengambil bentuk yang nyata. Sebaliknya, ia disuntik melalui tema yang membawa makna yang tersirat,” tambahnya yang telah berkecimpung dalam industri filem selama 50 tahun.
Hassan juga berkata kehidupan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu yang sangat kuat bersandar kepada unsur-unsur tahayul juga turut dikritik oleh P. Ramlee menerusi watak yang ditonjolkan oleh Sudin dalam filem Seniman Bujang Lapok.
"Babak Sudin memberikan cincin hikmat kepada Ramlee yang kononnya mampu memberikannya duit itu ini memberi pengajaran bahawa apa sahaja yang ingin dicapai oleh manusia haruslah dilakukan dengan usaha yang keras. Penyandaran terhadap elemen-elemen tahayul bukan sahaja ditegah dalam agama, malah ia juga mampu menjadi penghadang kepada kemajuan masyarakat," kata Hassan.
Menurutnya lagi, jika generasi sekarang mahu menghasilkan karya bermutu seperti P. Ramlee, contohilah cara kerjanya yang begitu teliti dan mengambil kira semua aspek dalam menghasilkan karya.
“Sumbangan P. Ramlee adalah sangat besar kepada kita semua. Walaupun sejarah akan selama-lamanya mengingati beliau sebagai seorang seniman dan budayawan yang tersohor, jelas usaha-usaha beliau sebenarnya menjangkaui batasan seni dan budaya,” katanya dalam Siri Seminar Hassan Muthalib: ‘Di antara yang Tersurat dan yang Tersirat Dalam Karya Filem P.Ramlee’ anjuran Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah Penyelaras Operasi CenPRIS, Profesor Dato' Seri Dr. Md Salleh Yaapar dan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Tan Sri Mohd Yussof Latiff.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Zamani Abd. Rahim
- Created on .
- Hits: 3202