USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UNIVERSITI PENYELIDIKAN MALAYSIA DAN THAILAND SEPAKAT BANTU GOLONGAN B40

PULAU PINANG, 16 Disember 2015 – Lima universiti penyelidikan di  Malaysia dan tujuh di Thailand telah sepakat untuk menjalinkan kerjasama dalam menyelesaikan masalah 40 peratus golongan terkebawah atau B40 di kedua-dua buah negara.

Demikian kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan selepas mempengerusikan Forum Perbincangan Untuk Kolaborasi Penyelidikan di Antara Universiti Penyelidikan Malaysia dan Thailand di sini hari ini.

“Perbincangan seperti ini adalah yang pertama seumpamanya walaupun setiap universiti telah banyak menjalinkan kerjasama antara universiti ke universiti tapi kali ini jalinan adalah berlandaskan di antara konsortium Malaysia dan Thailand yang juga dikenali sebagai Malaysia Research University Network (MRUN) dan Thailand Research University Network (TRUN).

“Hasil perbincangan hari ini, kedua-dua belah pihak iaitu MRUN dan juga TRUN telah bersetuju untuk berkolaborasi melalui tema B40 iaitu membantu menyelesaikan masalah 40% penduduk ke bawah bagi kedua-dua buah negara,” kata Muhamad.

“Pada bulan April nanti satu Memorandum Perjanjian akan ditandatangani oleh kedua-dua konsortium ini dengan kehadiran menteri kedua-dua negara bagi merealisasikan kerjasama ini yang bukan sahaja melibatkan bidang penyelidikan malah dengan kepakaran bidang jaringan industri dan masyarakat di universiti,” tambah Muhamad.

Perbincangan ini melibatkan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) semua MRUN termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Konsortium TRUN pula diwakili oleh wakil dari Chulalongkorn University, Kasetsart University, Khon Kaen University, Chiang Mai University, Thammasat University, Mahidol University dan Prince of Songkla University.

Menurut Profesor Dr. Mongkol Techakumphu, Timbalan Presiden Penyelidikan Chulalongkorn University, perbincangan ini adalah satu pendekatan yang lebih efisien berbanding kolaborasi di antara universiti sahaja.

“Jalinan kerjasama ini juga perlu melihat kepada beberapa perkara termasuk mobiliti staf dan pelajar, program pasca siswazah dan juga perkongsian amalan terbaik,” tambah Mongkol mewakil enam universiti yang lain.

Sementara itu, dalam sesi yang berasingan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) USM Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey telah mempengerusikan Forum Perbincangan untuk Kolaborasi Libatsama Komuniti di antara USM dan Universiti Penyelidikan Thailand.

Ching Mey berkata pihaknya amat gembira kerana berpeluang berkongsi idea dan bertukar maklumat dengan wakil-wakil TRUN yang hadir untuk menerokai peluang kolaborasi dalam program-program libatsama komuniti yang berpotensi untuk dikembangkan bersama oleh kedua-dua pihak.

Wakil-wakil TRUN telah diberi taklimat tentang gambaran keseluruhan Libatsama Komuniti di USM termasuk beberapa kolaborasi libatsama komuniti yang berjaya terjalin dengan pihak komuniti dan industri, serta peranan Rangkaian Libatsama Komuniti-Universiti Asia Pasifik (APUCEN) sebagai sebuah rangkaian serantau institusi pengajian tinggi dengan USM sebagai Sekretariatnya dalam usaha mempromosikan budaya penglibatan universiti-komuniti secara proaktif, inklusif dan holistik.

Selain itu, mereka juga mendengar pembentangan tentang sejauh mana Program Pemindahan Ilmu (KTP) berjaya memainkan peranannya dalam memacu aktiviti-aktiviti libatsama komuniti secara inovatif di Malaysia.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain & Tan Ewe Hoe

Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Ariffin @ Isa 

 

  • Created on .
  • Hits: 1232

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024