PEMBAKARAN HUTAN UNDANG KEPUPUSAN ORANG UTAN
oleh Syuhada bt Abd Aziz (
PULAU PINANG, 15 Disember 2015 - Pencemaran udara yang menyebabkan fenomena jerebu yang terhasil akibat pembakaran hutan di Kepulauan Sumatera, Indonesia dan Borneo telah membawa ancaman kesihatan kepada negara di sekitarnya termasuklah Malaysia.
Dalam kekecohan manusia menegakkan hak mereka untuk memiliki ruang udara yang bersih dan bagi memastikan kesihatan manusia terjaga, nasib menimpa hidupan liar khususnya orang utan seperti dilupakan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelamatan Orang Utan Borneo (BOSF), Dr. Ir. Jamartin Sihite berkata, pembakaran lebih daripada 10,000 hutan kecil di Kepulauan Sumatera Indonesia dan Borneo itu turut memberi kesan kepada hidupan tersebut di mana habitat mereka telah diceroboh dengan rakus oleh sikap pentingkan diri manusia.
“Gejala ini merupakan satu bencana yang dahsyat buat populasi orang utan. Kebakaran tersebut menyebabkan tempat tinggal mereka musnah. Antara habitat yang terjejas ialah Taman Negara Sabangau, Kalimantan, Indonesia,” katanya dalam syarahan khas bertajuk 'Living With Haze & Fire' sempena Majlis Pelancaran Tabung Bantuan Penyelamatan Orang Utan Pasca Jerebu 2015 di sini hari ini.
Tabung berkenaan telah dilancarkan oleh Ahli Akademik merangkap Pengurus Kumpulan Kearifan Tempatan, Profesor Badaruddin Mohamed.
Yang turut hadir ialah Koordinator Jaringan Kearifan Tempatan Asean (ALKN), Dr. Norizan Esa dan Presiden Malaysian Primatological Society (MPS) yang juga pakar orang utan dari Pusat Pengajian Sains Kaji hayat Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Mashhor Mansor.
Tambah Jamartin, pihaknya turut melahirkan rasa bimbang terhadap jumlah orang utan yang telah mati akibat bencana itu. Kebanyakan insiden kebakaran difahamkan telah dilakukan secara sengaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bertujuan mengosongkan tanah untuk meraih keuntungan.
“Mengikut statistik pada tahun 2004, hampir 60,000 orang utan liar masih wujud dan jumlah itu berkurangan sebanyak 15 hingga 20 peratus saban tahun,” katanya.
Menurutnya lagi, api dan asap antara ancaman kepada haiwan tersebut. Orang utan terpaksa bertarung nyawa berhadapan dengan asap daripada pembakaran hutan berkenaan.
Pelepasan gas karbon dioksida antara 15 hingga 20 tan sehari dari rantau Indonesia itu telah mencipta kepulan awan asap yang menjadi punca kepada jerebu.
“Sebahagian daripada mereka menderita akibat masalah saluran pernafasan yang boleh membawa maut manakala terdapat anak-anak orang utan yang ditemui mengalami penyahhidratan dan kekurangan zat kerana kekurangan sumber makanan serta udara bersih,” katanya yang telah berjaya menyelamatkan 39 ekor orang utan akibat pembakaran hutan terbabit.
Jamartin juga berharap usaha menyelamatkan orang utan juga perlu dipanjangkan dengan mengurangkan aktiviti pembakaran hutan yang menjadi punca utama kepada fenomena tahunan pencemaran jerebu.
BOSF yang ditubuhkan pada tahun 1991 merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan menjaga habitat orang utan selain memberi pendidikan kepada masyarakat setempat untuk tidak menjalankan aktiviti yang mampu memberi ancaman terhadap habitat orang utan ini.
Kini, BOSF menjaga hampir 750 orang utan melibatkan 400 orang pekerja yang berpengalaman mengendalikan haiwan yang diancam kepupusan ini.
- Created on .
- Hits: 3380