JANGAN SAMPAI ORANG UTAN HANYA BOLEH DILIHAT DALAM BUKU-PAKAR
Teks: Marziana Mohamed Alias (
PULAU PINANG, 15 Dis. 2015 - "Jangan biarkan kita dipersalahkan oleh generasi masa hadapan jika sekiranya orang utan hanya boleh dilihat dari buku dan rakaman visual semata-mata."
Demikian tegas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelamatan Orang Utan Borneo, Dr. Ir. Jamartin Sihite ketika mengulas sentimen masyarakat khususnya di Asia yang disifatkan kurang menghargai keistimewaan orang utan yang hanya wujud di dua negara, Malaysia dan Indonesia.
Katanya, data yang diambil pada tahun 2004 menunjukkan kira-kira 60,000 orang utan liar masih wujud dan jumlah itu terus berkurangan sehingga 15 ke 20 peratus setiap tahun.
"Daripada jumlah itu, kebanyakannya tinggal dalam habitat di Kalimantan, 15 ke 20 peratus berada di Malaysia dan kira-kira 5,500 lagi di Sumatera.
"Jika keadaan semasa tidak berubah dan pembakaran serta kemusnahan hutan terus berlaku, kemungkinan generasi masa hadapan hanya boleh melihat orang utan dalam buku atau video sahaja," jelasnya.
Tambah beliau, kemusnahan hutan khususnya kebakaran yang berlaku di Kalimantan beberapa bulan lalu telah mendatangkan kesan cukup besar kepada habitat orang utan.
“Ada dalam kalangan orang utan hilang arah sehingga masuk ke kawasan kampung dan keadaan primat tersebut sungguh menyedihkan.
“Kita telah berjaya mengerah misi bantuan kecemasan untuk menyelamatkan 39 orang utan yang terkesan dengan pembakaran hutan itu,” katanya.
Menyedari hakikat itu, beliau amat teruja untuk bekerjasama dengan USM melalui Malaysian Primatological Society (MPS) dan Jaringan Kearifan Tempatan Asean (ALKN) melancarkan Tabung Bantuan Penyelamatan Orang Utan Pasca Jerebu 2015 di sini hari ini.
Tabung berkenaan telah dilancarkan oleh Ahli Akademik merangkap Pengurus Kumpulan Kearifan Tempatan, Profesor Dr. Badaruddin Mohamed. Turut hadir ialah Koordinator ALKN, Dr. Norizan Esa.
Presiden MPS merangkap ahli akademik tersohor dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Mashhor Mansor pula berkata, beliau amat terpanggil untuk menghulur bantuan bagi memastikan ekosistem dan kelangsungan hidup orang utan sentiasa terpelihara.
“Inilah masanya untuk kita terus menyumbang segala yang termampu bagi memastikan khazanah negara terus terpelihara sehingga ke generasi seterusnya.
“Pemuliharaan orang utan adalah langkah untuk memastikan spesies itu menjalani kehidupan selamat dan terhindar daripada kerosakan alam sekitar yang berpunca daripada manusia,” ujarnya.
Dalam pada itu, tabung berkenaan dilancar bagi mencari dana dan melaksanakan usaha menyelamatkan orang utan di sekitar kawasan Kalimantan dan Sumatera, yang telah dilabel sebagai antara spesis terancam di dunia.
Rekod BOSF menunjukkan yayasan tersebut membelanjakan sekitar USD6 juta setahun bagi pemuliharaan orang utan termasuk kos perbelanjaan 700 ekor orang utan yang berada di pusat pemuliharaan BOSF dan juga orang utan liar.
BOSF turut menjalankan kempen kesedaran dan pendidikan kepada penduduk di kawasan berhampiran hutan yang didiami spesis berkenaan untuk tidak menjalankan sebarang aktiviti yang menyebabkan gangguan dan ancaman kepada habitat primat berkenaan.
Jamartin turut menyampaikan syarahan khas bertajuk Living With Haze & Fire yang antara lain menceritakan bagaimana jerebu dan kebakaran hutan memberi kesan yang cukup besar kepada orang utan dan habitatnya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 930