DARI KELANTAN KE AFGHANISTAN: MENYINGKAP PERJALANAN PERUBATAN KECEMASAN
Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Muhammad Firdaus Khiruddin
PULAU PINANG, 15 Disember 2015 – Perjalanan dari Kelantan ke Afghanistan telah menyingkap pelbagai kisah dan juga memberikan seribu satu pengalaman kepada sekumpulan pelajar pertama kursus Sarjana Perubatan (Perubatan Kecemasan) di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian Kelantan pada tahun 1998.
Hal ini dikisahkan oleh pensyarah PPSP Profesor Dr. Kamaruddin Jaalam yang mana pada ketika itu hanya terdapat dua atau tiga orang sahaja pakar dan professional dalam bidang Perubatan Kecemasan.
“Memulakan kursus ini adalah suatu perkara yang sangat mencabar dan saya pernah terima pelbagai respon negatif, namun saya berpendapat jika kita tidak mulakan sekarang, negara akan terus kekurangan pakar dalam bidang ini.
“Berbekalkan tekad dan azam yang kuat, program ini dimulakan apabila pihak PPSP dengan mengambil beberapa orang pakar sebagai tenaga pengajar dari institusi pengajian tinggi tempatan dan pada ketika itu USM satu-satunya menawarkan kursus sebegini di Malaysia dan di Asia Tenggara,” kata Kamaruddin yang lebih dikenali sebaga KJ.
Seramai 10 orang doktor perubatan mendaftar untuk mengikuti program ini dan pada tahun ketiga pengajian iaitu pada tahun 2001, Kamaruddin membawa para pelajar ke Afghanistan untuk merasakan sendiri pengalaman memberi bantuan dan pertolongan kepada mangsa peperangan yang pada ketika itu belakunya pergolakan di antara pasukan tentera yang diketuai oleh Amerika Syarikat menentang Al-Qaeda dan para penyokong Taliban.
“Keadaan sebenar peperangan ini memberikan lebih pengalaman kepada para pelajar dan pensyarah untuk bertindak dalam keadaan kecemasan dan kritikal serta hasil pembelajaran akan lebih efektif dan kemas,” tambah Kamaruddin yang juga membawa para pelajar ke tempat-tempat yang mengalami bencana alam lain seperti gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar.
“Pengalaman inilah yang saya sampaikan dan kongsikan juga bersama warga kampus dalam Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang telah diadakan pada bulan Mei lalu bertajuk ‘Dari Kelantan ke Afghanistan: Menyingkap Perjalanan Perubatan Kecemasan’,” tambah Kamaruddin yang dilantik sebagai Profesor bermula tahun 2009.
“Kerja lapangan sebegini melahirkan para pelajar yang prihatin dengan keadaan kecemasan dan belajar memberikan respon dan maklum balas secara spontan juga menjadikan bidang ini satu yang lebih menarik untuk diceburi oleh golongan muda.
“Pengambilan pelajar untuk mengikuti kursus ini tidak hanya dibuka kepada rakyat Malaysia, malah kita menawarkan juga program ini kepada doktor-doktor dari Palestin untuk mengikutinya supaya lebih ramai pakar dalam bidang perubatan kecemasan dilahirkan bagi membantu keadaan semasa di negara mereka,”katanya.
“Setelah lebih kurang 15 tahun menjalankan program ini, lebih 200 orang alumni Perubatan Kecemasan telah dilahirkan oleh PPSP USM yang mana sebahagian daripada mereka menjawat jawatan penting dalam bidang yang sama samada di hospital kerajaan atau swasta dan di Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Berbalik kepada kisah semasa di Afghanistan, kami bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan Mercy Malaysia dan juga beberapa pertubuhan lagi telah membina tapak bantuan dan perkhemahan mangsa di Chaman iaitu kawasan yang bersempadan di antara Afghanistan dan Pakistan.
“Walaupun berasa sangat gementar berada di dalam kawasan seperti itu, para pelajar dan juga pensyarah dapat merasai keadaan sebenar peperangan tersebut serta belajar cara-cara memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang mana pada ketika itu beribu-ribu warganegara Afghanistan berdepan dengan peperangan.
“Ramai di antara mereka melarikan diri keluar dari negara tersebut ke negara berdekatan seperti Pakistan melalui Chaman,” kata Kamaruddin mengimbau detik-detik cemas ketika itu.
Kamaruddin adalah seorang pakar dalam bidang Perubatan Kecemasan, Perubatan Respiratori dan juga Ultrasonografi dan pernah berkhidmat di Hospital Daerah Machang dan Hospital Universiti Sains Malaysia dan bekerja di Jepun dalam bidang Respiratori.
Pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah adalah dalam bidang Ultrasonografi dari State University Ghent, Belgium. Kamaruddin yang berusia 60 tahun kini bertugas sebagai Timbalan Dekan di USM-KLE, Belgaum India.
- Created on .
- Hits: 1249