PELAJAR KOMUNIKASI USM SUMBANG RM75,000 UNTUK YOKUK
Teks & Foto: Marziana Mohamed Alias
KUALA LUMPUR, 14 Disember 2015 – Kerja keras sekumpulan 40 pelajar jurusan Komunikasi Pemujukan Universiti Sains Malaysia (USM) menjalankan pelbagai aktiviti bersama badan kebajikan Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (YOKUK) berupaya menjana dana berjumlah RM75,000 untuk disumbangkan kembali kepada yayasan kebajikan tersebut.
Majlis penyerahan dana dibuat bersempena Charity Gala Dinner Projek Komunikasi@USM YOKUK yang mendapat perkenan keberangkatan Tengku Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra di Kuala Lumpur Golf & Country Club, di sini semalam.
Hadir sama ke majlis tersebut ialah kerabat-kerabat Diraja Kelantan, Pro Canselor USM Tan Sri Datuk Mustafa Mansur, Pengerusi YOKUK Datin Suliana Shamsuddin dan tetamu-tetamu kenamaan yang lain.
Dekan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), Profesor Madya Dr. Jamilah Ahmad berkata, beliau amat terharu dengan kemampuan pelajar bertungkus-lumus menjayakan program selama lebih empat bulan dalam merealisasikan harapan menyumbang kepada golongan memerlukan.
Katanya, kerjasama yang dijalin dengan YOKUK memberi satu peluang keemasan yang telah digunakan sebaiknya oleh para pelajar khususnya dalam membina jaringan dan menimba pengalaman menganjurkan acara berskala besar.
“Usaha memperkasa golongan kelainan upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang mudah dilaksanakan namun semangat jitu dan ketekunan yang ditunjukkan oleh pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan ini amat saya kagumi.
“Tempoh ini adalah satu proses pembelajaran yang begitu bermakna buat mereka dalam membentuk jati diri menjadi modal insan cemerlang di negara ini, selain membina upaya diri menjadi masyarakat berkemahiran dan berintelektual tinggi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena majlis berkenaan yang turut menampilkan persembahan hebat golongan OKU yang terlibat dalam program-program pemulihan YOKUK serta penampilan istimewa penyanyi Atilia dan kumpulan Caliph Buskers.
Dalam pada itu, Suliana pula dalam ucapannya menzahirkan rasa teruja dan kagum dengan kebolehan para pelajar USM dalam menyumbang bukan sekadar dana, sebaliknya menjenamakan YOKUK supaya lebih dikenali masyarakat di seluruh negara.
“Saya telah turut serta dalam pelbagai program mereka baik di Pulau Pinang, Kelantan mahu pun Kuala Lumpur dan sebagainya. Kesungguhan mereka amatlah tinggi dan saya menganggap peluang kolaborasi bersama mereka sebagai anugerah dari Allah,’’ katanya.
Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuk siri jelajah jerayawara, aktiviti jualan lencana, makanan, minuman berkaitan projek, permainan interaktif seperti sign language game dan coins picking game (blind fold), larian Run, Walk and Wheel, forum, bengkel dan sebagainya.
Suliana juga menyifatkan kolaborasi berkenaan turut memberi peluang YOKUK lebih tampak di mata umum dan ramai yang telah sedar dengan kewujudan YOKUK melalui medium komunikasi bersepadu dan penglibatan media, kesan strategi yang dibangunkan bersama PPK USM.
Dalam pada itu, projek julung kali diadakan ini mencapai sasaran dalam memperlihatkan usaha pelajar USM dalam membantu YOKUK memperkasakan jenama dan perkhidmatan untuk lebih visible dan dikenali setiap lapisan masyarakat demi untuk manfaat kebajikan orang kelainan upaya dan pesakit bantuan khas.
YOKUK yang sehingga kini telah dianggotai oleh lebih 4,000 ahli berperanan dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti penjagaan kebajikan, terapi pemulihan, pendidikan dan penjagaan paliatif serta perkhidmatan terapi untuk golongan OKU dan pesakit yang memerlukan termasuk terapi fizikal, berkuda, hidroterapi, terapi deria, terapi MAD (Music, Art & Drama) dan terapi pasir.
- Created on .
- Hits: 1010