USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANGUNKAN PERSONA KEPIMPINAN PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

IMG 0791cfbf

Teks: Mohamad Abdullah

PULAU PINANG, 14 Disember 2015 – Kepimpinan pendidikan tinggi di negara ini perlu membangunkan persona akademik yang mampu melakukan perubahan dalam pendidikan tinggi dan menterjemahkan makna sebenar pemindahan ilmu untuk masyarakat.

Malah persona akademia atau professorial persona yang inklusif melangkaui penerbitan akademik untuk menjadi role model dengan budaya intelektual yang berintegriti tinggi, pekerti mulia dan budaya tinggi serta elegen.

Demikian kata tokoh akademik terkemuka negara Profesor Emeritus Dato’ Dr.  Ibrahim Ahmad Bajunid selaku Pengerusi Panel Auditor Audit Pengekalan Swaakreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam pembukaan audit Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

IMG 0774hjyy

“Pelbagai persoalan bermain dalam kalangan pelbagai pemegang taruh, terutamanya dalam melihat universiti awam yang dibangunkan dari dana awam yang memerlukan akauntabiliti dan integriti yang tinggi,” kata Ibrahim.

Menurut Ibrahim, USM misalnya telah membangunkan program pemindahan ilmu yang bukan sahaja daripada generasi terdahulu kepada yang terkini tetapi juga perlu melihat dari aspek lainnya yang perlu diteliti dan diberikan perhatian, apatah lagi dalam membangunkan persona dalam kalangan ahli-ahli akademik untuk diterima secara global, memastikan usaha memartabatkan ilmu melalui bahasa yang menjadi jati diri masyarakat negara ini dan memastikannya merentasi sempadan yang ada malah juga memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap pelbagai disiplin ilmu.

IMG 0763jgj

Jelasnya, kerana itu juga kita perlu bertanya banyak soalan yang dilihat dalam konteks impak keseluruhan kepada masyarakat serta bagaimana kepimpinan pendidikan tinggi mampu untuk memainkan peranan mereka misalnya dalam memainkan peranan terhadap pelaksanaan perjanjian yang berkaitan dengan perubahan cuaca atau climate change yang melibatkan banyak negara dunia.

“Tatkala sesetengah negara yang menandatanganinya telah pun mengambil langkah-langkah yang perlu, bagaimana pula dengan negara ini, siapa yang akan mengambil tindakan dan bagaimana universiti seperti USM yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dapat bersama-sama memainkan peranannya,” kata Ibrahim.

Tegasnya lagi, universiti seharusnya menjadi tempat mempertahankan budaya tinggi dan tidak mudah membiarkan mereka yang datang dari sub-budaya rendah mengubah atau mengatasi budaya tinggi yang ada.

IMG 0777vn

IMG 0798gh

Pada majlis tersebut, Naib Canselor USM Profesor Dato’ Dr. Omar Osman membentangkan pencapaian dan perancangan masa hadapan USM. Yang hadir sama ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor USM, Dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan.

Audit Pengekalan Swaakreditasi diadakan di USM sehingga Khamis ini dengan panel-panel menemubual pelbagai kumpulan pemegang taruh dari Lembaga Gabenor, Naib Canselor dan Timbalan-timbalan Naib Canselor, wakil industri, wakil alumni, ketua jabatan serta kumpulan pentadbiran dan sokongan di samping mengadakan lawatan ke beberapa jabatan.

  • Created on .
  • Hits: 1138

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024