WARGA USM GEMPUR DENGGI
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Zamani Abdul Rahim
PULAU PINANG, 14 Disember 2015 – Seramai 500 orang warga Universiti Sains Malaysia (USM) terlibat dalam Program Misi Gempur Denggi (Dengue Mission Buzz) anjuran Pusat Sejahtera USM dengan kerjasama Sanofi Pasteur (M) Sdn Bhd dengan memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dan kesihatan dalam kalangan warga USM berikutan peningkatan kes denggi.
Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) USM, Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein berkata, penganjuran program ini adalah sebahagian dari usaha memupuk sikap rasa bertanggungjawab warga kampus dalam membasmi penularan wabak berkenaan.
“Usaha ini dapat menghindarkan masyarakat daripada dijangkiti denggi di samping menyahut seruan kerajaan yang meminta semua agensi kerajaan membantu menghapuskan pembiakan nyamuk Aedes,” jelasnya.
Menurut Adnan, peningkatan sebanyak 300 peratus kes denggi pada tahun ini perlu dipandang serius oleh semua kerana penularan wabak denggi ini mampu membawa maut.
“Peningkatan kes denggi di kawasan ini amat membimbangkan dan langkah proaktif harus segera diambil.
Di USM sendiri sudah mencatatkan satu kematian disebabkan wabak denggi, kerana itu warga USM perlu mengambil langkah berjaga-jaga di samping mempunyai kesedaran dalam menggempur tempat-tempat yang berpotensi untuk nyamuk Aedes membiak,” katanya merasmikan Program Misi Gempur Denggi di sini, hari ini.
Tambahnya, USM sentiasa mengambil langkah mengatasi masalah ini dan pelbagai kempen kesedaran juga aktif dilaksanakan supaya setiap pelajar dan warga USM faham dan sedar akan tanggungjawab untuk menggempur denggi dan kawasan-kawasan pembiakan nyamuk Aedes.
“Antara khidmat yang telah diberikan oleh USM kepada masyarakat luar adalah pada bulan September lepas, bersama-sama Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Hilmi Yahaya, sukarelawan USM telah mengadakan gotong royong di Kawasan Teluk Bahang dalam usaha menggempur denggi serta memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang bahayanya demam denggi,” katanya.
Adnan berharap setiap warga kampus memainkan peranan dalam menggempur denggi ini dengan mencari dan musnahkan kawasan yang berpotensi untuk nyamuk membiak bukan sahaja mengharapkan tanggungjawab Pusat Sejahtera sahaja.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid berkata, di USM jumlah kes denggi yang dilaporkan berjumlah 182 kes sehingga kini.
“Kes demam denggi ini dilihat meningkat dengan mendadak berbanding pada tahun-tahun sebelum ini menyebabkan Pusat Sejahtera mengambil inisiatif mengadakan aktiviti jelajah seperti ini bertujuan untuk membanteras semua tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam kampus,” jelasnya lagi.
Tambahnya, satu jawatankuasa teknikal pembasmi denggi peringkat USM juga telah ditubuhkan.
Normala berharap program seperti ini dapat memberi lebih banyak informasi tentang nyamuk Aedes dan demam denggi di samping memberi idea dan kaedah-kaedah yang terbaik untuk membanteras penyebaran demam denggi.
Melalui program ini, pelbagai acara dijalankan sepanjang hari antaranya permainan, pameran tentang simptom-simptom demam denggi dan cara menghapuskan pembiakan nyamuk Aedes.
- Created on .
- Hits: 913