PIPIT HUTAN JUARA KESELURUHAN HWS USM
Teks: Nor Rafizah Md Zain
Foto: Zamani Abdul Rahim
BERTAM, PULAU PINANG, 12 Disember 2015 - Kontinjen Pipit Hutan dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) menjuarai pertandingan keseluruhan di Hari Warga Staf (HWS) USM di sini hari ini.
Pipit Hutan mengumpulkan sejumlah 580 mata berbanding di tempat kedua Pucung Harimau dengan 560 mata dan Pekaka Udang di tempat ketiga dengan 540 mata.
"Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kontinjen Pipit Hutan kerana berjaya menjadi juara pada kali ini di antara tujuh pasukan yang mengambil bahagian," kata Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman di sini selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
"Saya mengucapkan tahniah juga kepada Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) kerana berjaya menganjurkan HWS pada kali ini dan berharap tema Sehati Sejiwa ini dapat direalisasikan dan apa jua yang kita lakukan," tambah Omar.
"Harapan saya semoga penganjuran HWS pada tahun hadapan juga mencapai apa yang diinginkan dan bersama-sama memeriahkan HWS di Kampus Kesihatan, Kelantan," kata Naib Canselor.
"Syabas dan tahniah kepada semua ahli kontinjen Pipit Hutan kerana membuktikan yang kita bukannya hanya jaguh kampung malah boleh juga menang di tempat lain," kata Pengarah Kampus Kejuruteraan merangkap Ketua kontinjen, Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd Ishak yang menjuarai HWS dua tahun berturut-turut.
Naib Canselor turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Explorace dan juga pertandingan tarik tali yang berlangsung di sebelah pagi serta lima hadiah tertinggi cabutan bertuah yang juga termasuk sebuah motosikal berjenama SYM, barangan kemas dan juga telefon bimbit.
HWS yang berlangsung selama sehari ini mempertandingkan pelbagai acara seperti sukaneka, larian dan memasak yang diadakan pada waktu pagi manakala pada waktu malam diadakan persembahan kebudayaan yang bertemakan 'Back to the Future'.
Kontinjen Pekaka Udang dari Kampus Kesihatan membuat persembahan berkisar kisah Puteri Gunung Ledang pada masa dahulu dan juga pada masa akan datang dinobatkan juara malam kebudayaan oleh juri-juri yang diketuai oleh alumni USM dan pelakon Arja Lee.
Turut hadir ialan semua Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah-pengarah Kampus, Pendaftar, Pemangku Bendahari dan juga staf dari kesemua kampus termasuk Induk, Kesihatan, Kejuruteraan dan juga tuan rumah, IPPT.
- Created on .
- Hits: 1673