NTU BERMINAT JALIN KERJASAMA PENYELIDIKAN DENGAN USM
NIBONG TEBAL, 11 Disember 2015 – Nanyang Technological University (NTU) Singapura melalui Nanyang Environment & Water Research Institute (NEWRI) berminat menjalin kerjasama penyelidikan berfokuskan air dan sebarang kajian yang berhubung kait dengan air serta persekitaran dengan Universiti Sains Malaysia (USM).
Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak berkata, pertemuan NTU dengan USM penting untuk memberi pendedahan serta faedah jangka panjang dalam pembangunan penyelidikan negara.
“Saya yakin, ini merupakan permulaan yang baik dalam menentukan strategi dalam penyelidikan yang dapat membantu komuniti serta masyarakat," katanya.
Jelasnya, selama ini kita melihat dan mengadakan kerjasama dengan universiti dan organisasi yang lebih jauh sedangkan kita mempunyai jiran yang lebih dekat untuk membantu dalam perkembangan penyelidikan.
“Ini merupakan satu peluang yang baik dan perlu dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas dalam menghadapi cabaran pada masa kini,” tambahnya.
"Kerjasama seperti ini juga selari dengan harapan menjadikan USM sebagai salah sebuah universiti tersohor di dunia menjelang 2025 nanti,” kata Zainal Arifin dalam ucapan pada akhir program lawatan tersebut di Dewan Seminar, Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).
Pengarah Eksekutif, Nanyang Environment & Water Research Institute (NEWRI), Profesor Ng Wun Jern berpuas hati dengan layanan dan pembentangan yang dibuat oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan mengenai USM secara keseluruhan.
“Kami merupakan institusi penyelidikan sepenuhnya yang berfokus kepada air dan apa juga yang berhubung kait dengannya,” kata Wun Jern dalam pembentangannya tentang NEWRI kepada wakil-wakil Pusat Pengajian dan Pusat Penyelidikan USM.
Katanya, pihaknya masih tidak cukup lengkap dalam bidang ini dan ingin terus belajar dan bekerjasama dalam membangunkan institusi penyelidikan khususnya dalam kajian mengenai air dan persekitaran.
Felo Penyelidikan Kanan dan Penyelidikan Air, NEWRI, Dr. Maszenan Abdul Majid berkata, terdapat tiga perkara yang ditemui hasil dari lawatan tersebut iaitu mengenai keselamatan air, membran dan penggunaan sisa atau bahan buangan untuk penghasilan tenaga.
“Hasil perbincangan hari ini telah memberi peluang kepada kami untuk bekerjasama dengan USM dalam penyelidikan membran baharu dengan menggunakan tenaga yang lebih tahan supaya air yang mempunyai magnesium itu boleh diminum,” kata Maszenan.
Menurutnya lagi, pihak NEWRI akan menyediakan laporan lengkap serta kaedah dalam meneruskan kerjasama dengan USM.
Seramai 21 orang delegasi tersebut turut dibawa melawat makmal dan kemudahan peralatan yang terdapat di Pusat Penyelidikan Sains dan Kejuruteraan (SERC).
Teks: Mohd Kamil Ashar (
Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin (
- Created on .
- Hits: 853