HARGAI MASA UNTUK BERJAYA
Teks: Mohamad Abdullah
PULAU PINANG, 11 Disember 2015 - Untuk beroleh kejayaan, seseorang itu perlu hargai masa yang ada. Malah, orang yang cerdik dan bijaksana akan memanfaatkan masa yang ada dengan betul mengikut ajaran agama dalam mencari keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Pengarah Pusat Transformasi Insan Alustaz Profesor Madya Dato’ Haji Ellias Haji Zakaria mengingatkan umat Islam terhadap pesanan baginda Rasulullah SWT yang bersabda bahawa mereka yang waras, sempurna aqal dan bijaksana memberikan keutamaan menggunakan masanya dengan empat perkara.
“Pertama ialah membahagikan masanya untuk bermunajat dan mendekatkan diri dengan Allah SWT dengan memulakan hari dengan solat subuh yang mendekatkan seseorang itu dengan penciptaNya,” kata Ellias.
Perkata kedua ialah dengan menggunakan sebahagian lagi masa untuk memeriksa diri sendiri dan membuat audit diri sebelum sampai masa kita pula diaudit.
“Yang ketiga ialah menggunakan sebahagian lagi masa untuk berfikir dan merenung terhadap segenap kekuasaan Allah SWT, terhadap segala warna-warni ciptaan-Nya, mencari inspirasi pada setiap ciptaan Allah SWT, meneroka ilmu dari segenap kejadian dan ciptaan Tuhan serta mencari rahsia yang ada melalui pelbagai disiplin ilmu yang seterusnya akan membuka pintu rezeki kepada kita,” jelas Ellias.
Manakala perkara keempat ialah seseorang yang waras, berakal dan bijaksana akan memanfaatkan sebahagian lagi masanya untuk berbakti dan mencari rezeki pada jalan yang dibenarkan dan halal.
“Bumi Allah SWT ini luas, maka seseorang itu perlulah mencari rezeki dengan jalan yang halal dan mendapat rahmat di sebaliknya, apatah lagi dengan menggunakan keempat-empat pembahagian masa yang ada itu seseorang itu akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan walaupun tanpa pangkat dan kedudukan,” kata Ellias.
Menurutnya lagi, pada masa yang sama, kita juga perlu ingat bahawa umat Islam juga sering diperingatkan untuk bersedia menghadapi cabaran masa hadapan serta peka dan sensitif dengan segala perubahan yang berlaku, malah bersedia untuk menghadapinya dengan segala kekuatan yang ada.
Eliias menyampaikan tazkirahnya kepada warga Bangunan Canselori II bagi memulakan Siri Santapan Rohani Pusat Transformasi Insan yang diadakan dua minggu sekali bermula hari ini selama 30 minit.
- Created on .
- Hits: 1089