342 PASUKAN BERENTAP DI PESTA HOKI USM-PENANG INTERNATIONAL KE-42
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
Foto: Zamani Abdul Rahim
PULAU PINANG, 10 Disember 2015 - Pesta Hoki USM-Penang International edisi ke-42 membuka tirai dengan penyertaan 342 buah pasukan yang bakal berentap merebut kejuaraan tahun ini.
Penyertaan yang turut menarik perhatian beberapa pasukan dari luar negara membuktikan Pesta Hoki USM-Penang International berada pada kelas yang tersendiri.
Antara negara terlibat adalah Sri Lanka, India, Pakistan,Taiwan dan Indonesia yang bakal mewarnai Pesta Hoki buat kali ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein berkata beliau mengharapkan penglibatan pasukan-pasukan luar negara dapat memeriahkan lagi pesta di samping menjadikan ia lebih kompetitif dengan saingan daripada pasukan dalam negara.
“Pada edisi kali ini, semua perlawanan akan dilangsungkan di atas padang rumput sebenar (natural grass) kerana gelanggang 'turf' dalam proses naik taraf dan dijangka siap pada hujung Januari 2016.”
Katanya ini menunjukkan USM sentiasa memberi perhatian khas kepada pembangunan sukan hoki di USM bukan sahaja dalam penyediaan atlet yang cemerlang, tetapi juga memastikan peruntukan mencukupi untuk kejohanan ini demi mengekalkan legasi 42 tahun pesta hoki.
Beliau hadir mewakili Naib Canselor di majlis Makan Malam Pesta Hoki USM-Penang International ke-42 hari ini di Hotel Equatorial, Pulau Pinang.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM, Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Muhamad Mohd. Hanif; Pengarah Projek Pesta Hoki USM-Penang International 2015, Shanmugam Panisilian dan pegawai-pegawai utama Universiti.
Pada majlis tersebut, beliau menambah, bagi memperkemas dan menambah penyertaan di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi, Pusat Sukan Tumpuan (PSTH) USM akan lebih bekerjasama dan berkolaborasi dengan sokongan dan bantuan Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia agar agenda Pesta Hoki ini dapat dimuatkan dalam kalendar sukan KPT/IPT.
“Saya bagi pihak USM amat berterima kasih atas keperihatinan dan sokongan Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi atas peruntukan dan bantuan dalam pembangunan prestasi sukan hoki USM terutamanya dengan lantikan USM sebagai Pusat Sukan Tumpuan (PSTH) dan diharapkan kejayaan ini dapat diteruskan dengan penaiktarafan menjadi Pusat Kecemerlangan Sukan Hoki (PKSH),” kata Adnan.
Tambahnya lagi kejohanan Pesta Hoki USM-Penang International ini merupakan satu contoh yang amat baik di mana pihak universiti memperkasakan golongan mahasiswa untuk melibatkan diri seluruhnya dalam pengelolaan kejohanan besar pada peringkat antarabangsa.
Pesta Hoki USM-Penang International diiktiraf sebagai penganjuran enam dan tujuh sebelah terbesar di Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Pesta ini turut merangkul anugerah kebangsaan 'Anugerah Kepimpinan Sukan' untuk kepimpinan cemerlang daripada Majlis Sukan Negara, diiktiraf sebagai penyertaan terbesar sebanyak 410 pasukan dalam sejarah Pesta Hoki dan turut disenarai sebagai penganjuran pertandingan hoki tanpa henti oleh Malaysian Book of Records pada 2007 dan 2009.
- Created on .
- Hits: 1243