USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GEMBLENG KERJASAMA GLOBAL UNTUK KELESTARIAN HARI ESOK

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto : Mohd Fairus Md Isa

PULAU PINANG, 10 Disember 2015 - South East Asia Sustainability Network (SEASN) yang dipelopori oleh Universiti Sains Malaysia (USM) mampu menggembleng kerjasama global melalui perbincangan tentang hala tuju yang diperlukan untuk tindakan jangka panjang bagi memastikan negara-negara  ASEAN aktif melaksanakan aktiviti yang terancang dalam bidang  kelestarian alam sekitar.

Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM, Profesor Kamarulazizi Ibrahim berkata, program ini dijangka memperkukuhkan SEASN untuk membawa tanggungjawab memimpin dan menjadi pemimpin dalam isu berkaitan kelestarian di Asia Tenggara.

Jelasnya lagi, melalui penyertaan di dalam program ini, diharapkan agar  pertukaran maklumat antara peserta akan menjadi lebih dinamik dan mampu memperkuatkan jaringan serantau.

Peserta dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), Ahmad Mustafa Hashim berkata, perjumpaan ini unik kerana mengumpulkan peserta yang berlainan kepakaran, bidang, tugasan, penglibatan, industri, akademik dan lain-lain untuk membincangkan berkenaan kelestarian dari lima elemen iaitu air, tenaga, kesihatan, pertanian dan biodiversiti.

"Sebahagian dari isu-isu kelestarian yang dibincangkan adalah perkara yang dialami oleh peserta sendiri yang menghasilkan cadangan-cadangan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

"Jadi, untuk pemerkasaan dalam mengatasi isu kelestarian ini, masyarakat dan individu yang terlibat perlu  memainkan peranan dan mempunyai sikap yang tegas untuk menyelesaikannya, bukan hanya mempunyai idea yang canggih padahal ianya tidak digerakkan dan dikuatkuasakan," tambahnya.

Ahmad juga memberitahu bahawa untuk mencapai matlamat ini, komitmen dari semua pihak yang terlibat termasuk para pemegang taruh amatlah diperlukam untuk kelestarian hari esok.

Sementara itu, Juhari Abdul Razak dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) pula mengulas, program ini mengenengahkan peserta dengan elemen-elemen kelestarian yang lebih terperinci dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh siapa untuk memelihara dan memulihara kelestarian.

"Selain itu, ianya juga adalah platform untuk peserta duduk dan berbincang berkenaan isu kelestarian ini dan apakah impaknya kepada sosial dan juga persekitaran," jelasnya.

Juhari juga memberitahu bahawa konsep World Cafe yang digunakan untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu kelestarian ini amat efektif dan mampu menyumbang kepada idea-idea yang bernas kerana semuanya adalah terbuka dan bersifat  'brainstorming'.

Objektif program dan kerjasama ini adalah untuk mempromosikan kelestarian di peringkat institusi, melalui perkongsian maklumat dan amalan-amalan terbaik dalam kelestarian, pertukaran idea dan juga keputusan penyelidikan di lapangan kelestarian dan kaedah pembangunan untuk memperbaiki kelestarian secara keseluruhan.

Lebih dari 50 orang peserta menyertai program ini yang berlangsung pada 9 dan 10 Disember 2015 di Hotel Vistana Pulau Pinang.

  • Created on .
  • Hits: 1326

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024