ISDEV LAKSANAKAN KELESTARIAN DALAM PEMBANGUNAN ISLAM
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
PULAU PINANG, 9 Disember 2015 – Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) disaran untuk menjalankan penyelidikan dan juga program kelestarian dalam pembangunan Islam selari dengan visi USM Mentrasformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.
Demikian kata Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr Omar Osman ketika berucap merasmikan upacara penutup International Islamic Development Management Conference (IDMAC 2015) di sini kelmarin.
“Pada tahun hadapan, dunia akan dicambahkan dengan pelbagai isu pembangunana kelestarian, oleh yang demikian ISDEV boleh bekerjasama dengan Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM untuk melaksanakan kelestarian dalam pembangunan Islam,” kata Naib Canselor.
“Saya mencadangkan IDMAC pada tahun depan mengangkat tema kelestarian dalam pembangunan Islam supaya apa yang dibincang dan dibahas dalam persidangan ilmu agama seperti ini juga menjurus kepada konsep kelestarian,” tambah Omar.
Naib Canselor sebelum itu mendengar dan meneliti Ucaptama IDMAC 2015 yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Abdul Razak Holdings Negara Brunei Darussalam iaitu Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Lela Dato’ Seri Laila Jasa Haji Awang Abdul Rahman Abdul Karim yang bertajuk ‘Islamic Asset Management’.
Naib Canselor pada majlis yang sama turut melancarkan 15 judul buku hasil tulisan pelajar dan pensyarah USM terutamanya dari ISDEV dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) termasuk Pengurusan Insan Berteraskan Islam, Pelancong dan Pelancongan Islam, Pemikiran Politik Islam Perbandingan antara Pemikiran Dr. Budhanuddin Al-Helmi dengan Muhammad Nasir dan Wakf Tunai: Sejarah, Amalan dan Cabaran Masa Kini.
IDMAC 2015 yang dianjurkan buat kali kesembilan telah menghimpunkan seramai 100 orang peserta daripada Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam. IDMAC 2015 adalah platform untuk mempertemukan minda dengan membentangkan lebih 55 dapatan daripada penyelidikan masing-masing.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar, Pengarah DBP Pulau Pinang, Abdul Nasir Mohd Razali dan juga Pengarah ISDEV, Profesor Dr. Muhammad Syukri Salleh.
- Created on .
- Hits: 873