FORUM MAHASISWA HU-USM MEMBINCANGKAN ISU-ISU GLOBALISASI DAN KELESTARIAN
HIROSHIMA, JEPUN, 9 Disember 2015 - Seramai 14 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dan 14 mahasiswa Hiroshima University (HU), Jepun menyertai HU-USM Student Forum 2015 membincangkan isu-isu globalisasi dan kelestarian selama lima hari dari 7 hingga 11 Disember 2015.
Antara isu-isu yang dibangkitkan ialah isu makanan halal, masalah sekuriti makanan, kesan globalisasi terhadap makanan dan juga kesan globalisasi terhadap bahasa ibunda, kebudayaan, seni bina dan sistem pendidikan negara.
Forum tahunan melibatkan mahasiswa kedua-dua universiti ini telah dianjurkan pertama kalinya pada tahun 2012, dan penganjurannya dilakukan berselang-seli setiap tahun, contohnya pada tahun lepas, ia dianjurkan di USM manakala pada tahun 2015 pula dianjurkan di HU.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Mohd Fahmi Mohd Fadzli berkata, program ini sangat bermanfaat kepada semua peserta kerana membolehkan mereka berkongsi idea baru tentang isu global, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, membina keyakinan diri dan mempelajari budaya orang Jepun.
“Sepanjang program ini, saya mempelajari tiga perkara daripada pelajar Jepun iaitu tepati masa, komitmen dan dedikasi semasa bekerja serta tidak berputus asa walaupun menempuh kegagalan,” katanya.
Menurut Mohd Fahmi lagi, program ini berpotensi untuk diperluaskan kepada persatuan pelajar dan Pusat Pengajian di USM mahupun kesemua universiti di Malaysia kerana mahasiswa harus membina jalinan kerjasama dengan universiti-universiti luar negara khususnya universiti di negara-negara maju seperti HU di Jepun.
Mohd Fahmi turut mengulas, program seperti ini juga menyahut seruan Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman untuk melahirkan pelajar USM yang mempunyai pemikiran global (global mindset).
Yang Dipertua Persatuan Ilmu Pendidikan, Mohamad Azroy Effendi Mohd Jasman pula berkata, pengalaman berinteraksi dengan mahasiswa HU di Jepun dan melihat sendiri sistem pembelajaran di sana diharapkan akan menambahkan pengetahuan peserta terutamanya tentang sistem pendidikan di Jepun supaya dapat diaplikasikan di Malaysia.
“Selain itu, saya berharap melalui program seumpama ini, hubungan mahasiswa USM dan HU akan terus berkekalan, sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia dan Jepun,” kata Azroy lagi.
Turut sama menemani delegasi USM ialah Dekan PPIP Profesor Dato’ Dr. Abdul Rashid Mohamed, Timbalan Dekan PPIP Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail dan pensyarah PPIP Dr. Mohd Ali Samsudin.
Teks: Zamani Abdul Rahim
Suntingan: Tan Ewe Hoe
Foto: Facebook Rasis M. Rosdi
- Created on .
- Hits: 882