USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SEASN PLATFORM TERBAIK BINCANG ISU-ISU KELESTARIAN ASEAN

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

PULAU PINANG, 9 Disember 2015 – Penubuhan South East Asia Sustainability Network (SEASN) secara tidak langsung memberi lebih banyak ruang untuk ahli-ahli komuniti ASEAN bekerjasama dalam pertukaran idea untuk kemajuan budaya negara-negara ASEAN.

Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam ucapannya bersempena SEASN Thematic Working Group (TWG) on WEHAB+3 & SEASN Assembly 2015 di Hotel Vistana Pulau Pinang hari ini yang disertai peserta pelbagai negara ASEAN.

Beliau berkata, melalui SEASN dan Kumpulan Kerja Thematic (TWG) pada tahun 2015, beliau berharap bahawa negara-negara yang mengambil bahagian boleh mengembangkan agenda kelestarian yang kini telah menjadi satu agenda penting dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"PBB kini telah memperkenalkan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) dan ia mengandungi 17 matlamat dengan 169 sasaran yang meliputi pelbagai isu-isu pembangunan kelestarian termasuk membasmi kemiskinan dan kelaparan, meningkatkan kesihatan dan pendidikan, menjadikan bandar lebih lestari, memerangi perubahan iklim, dan melindungi lautan dan hutan.

"Jangan kita lupa bahawa negara-negara ASEAN juga mempunyai potensi untuk bersaing dengan negara-negara lain dalam usaha untuk meningkatkan keadaan yang sedia ada di negara masing-masing kerana negara-negara ASEAN kaya dengan biodiversiti, kepelbagaian budaya, dan sumber semula jadi," tambahnya.

Beliau juga berharap SEASN akan menjadi platform terbaik bagi ASEAN untuk menjadi pemain utama dalam menggalakkan kelestarian di rantau ini.

Teks ucapan Mary dibaca oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman.

Dalam pada itu, Omar pula berkata, untuk merealisasikan hasrat ini, USM akan terus mendidik dan memperkasakan isu berkaitan kelestarian serta memberi fokus agenda ini dari perspektif pendidikan tinggi.

“ASEAN juga menghadapi isu-isu kelestarian yang menjadi isu tumpuan komuniti dari aspek sosio-budaya seperti pengurusan bencana, alam sekitar, pencemaran jerebu, kesihatan, pembangunan luar bandar dan pembasmian kemiskinan, sains dan teknologi, kebajikan sosial dan pembangunan, serta isu wanita dan belia manakala bagi aspek ekonomi pula, penekanan kepada isu tenaga, pertanian dan perhutanan perlu diambil kira.

“Pemahaman berkaitan perkara ini haruslah dididik dari aspek bukan hanya sekadar bertindakbalas semata-mata selepas terjadinya suatu bencana itu, akan tetapi persediaan untuk menghadapinya,” jelasnya lagi.

Omar juga menegaskan, bagi USM, jaringan amatlah penting untuk berkongsi dan memindahkan ilmu berkaitan keadaan sebenar isu kelestarian dengan komuniti dan juga tanggungjawab untuk bersama-sama bersiap sedia menghadapi cabaran ini serta usaha berterusan dalam mengajar dan mendidik komuniti haruslah tidak terhenti.

SEASN mempunyai ahli seramai 38 orang dari lima negara (Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Vietnam) dan telah dilancarkan pada 28 Oktober 2013 yang berobjektif untuk mempromosikan kelestarian di peringkat institusi, berkongsi maklumat dan amalan terbaik dalam kelestarian.

  • Created on .
  • Hits: 811

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024